MRSM dirayu perluas permohonan kemasukan – Utusan Digital

SHAH ALAM: Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dirayu supaya tidak mengehadkan permohonan kemasukan daripada kalangan pelajar sekolah kebangsaan dan menengah, sebaliknya diminta perluas kepada pemohon sekolah agama.

Ini kerana, para pelajar daripada sekolah seperti sekolah agama bantuan kerajaan (SABK), sekolah rendah agama integrasi (SRAI) dan sekolah agama menengah (SAM) juga menepati dasar dalam MRSM apabila mempunyai peratusan tertentu pelajar yang terdiri dalam kalangan B40, M40 dan T20.

Rayuan itu dinyatakan Jawatankuasa Permuafakatan Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SRAI Negeri Selangor yang dalam satu kenyataan bersama 11 YDP seluruh negeri meluahkan dukacita dengan syarat kemasukan ke MRSM bagi tahun depan.

“Kami cuma baru-baru ini kami berasa terkilan dan amat berdukacita apabila meneliti syarat kelayakan permohonan kemasukan MRSM ‘Syarat Kemasukan ke Tingkatan 1 dan Tingkatan 4 Tahun 2022, Perkara 6 : Calon dari sekolah kebangsaan ( tahun 1 hingga 6 ) / sekolah menengah kebangsaan ( tingkatan 1 hingga 3 ) sahaja’.

“Syarat permohonan ke MRSM untuk murid sekolah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan sahaja dilihat sebagai satu tindakan terkebelakang kerana akan mengurangkan peratusan pelajar berkualiti melanjutkan pelajaran di MRSM terutamanya MRSM Ulul Albab,” ujarnya.

Pada 29 Ogos lalu, MRSM membuka permohonan kemasukan ke Tingkatan 1 dan 4 bagi tahun 2022 dan mempelawa calon-calon berkelayakan untuk mengikuti Sistem Pendidikan Maktab Rendah Sains Mara (SPMRSM) yang menawarkan program-program berteraskan kurikulum kebangsaan dan antarabangsa.

Permohonan itu dibuka secara dalam talian bermula 29 Ogos sehingga 5 November 2021.

Dalam pada itu, jawatankuasa itu turut mencadangkan Mara memberi keutamaan kepada pelajar luar bandar atau miskin bandar bagi melanjutkan pelajaran di MRSM yang boleh dilaksanakan melalui saringan peperiksaan dan temuduga seperti sebelum ini.

“Kami berharap Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Pengerusi Mara dapat memperhalusi dan seterusnya menarik semula syarat itu memandangkan keputusan mengenai syarat baharu yang tertera di Perkara 6 adalah sangat pra-matang serta seolah-olah dibuat tergesa-gesa.

“Anak-anak dari SRAI contohnya adalah terbukti melahirkan pelajar-pelajar peringkat rendah yang cemerlang akademik, kokurikulum dan sahsiah. Malah kemasukan pelajar-pelajar Tahun 1 ke SRAI perlu melalui melalui Ujian Kelayakan Sekolah (UKS) Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS),” ujarnya. – UTUSAN ONLINE