Muda belum beritahu jumlah kerusi mereka mahu – Anwar

Muda belum beritahu jumlah kerusi mereka mahu – Anwar

JOHOR BAHRU: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) masih belum memberitahu jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimahukan sekiranya jalinan kerjasama kedua-dua pihak termeterai.

Anwar yang juga Presiden PKR itu memberitahu, rundingan kerjasama dengan Muda dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ketika ini dibuat di peringkat kepemimpinan negeri.

“Rundingan kerjasama PH dan Muda setakat ini di peringkat negeri, kita sedang berbincang dan bersedia memberi ruang (kerusi) kepada mereka dan kerusi mana. Ini masih perbincangan dalam PH, soal agihan kerusi (sekiranya PH bekerjasama dengan Muda) akan dibuat secara bersama, iaitu sebahagian kerusi Amanah (Parti Amanah Negara) dan sebahagian kerusi DAP juga.

“Kita akan tengok berapa mereka minta dan perkara ini masih dalam perbincangan, mereka tidak umum, kami pun tidak umumkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Pelancaran Jentera Angkatan Muda Keadilan (AMK), di sini hari ini.

Semalam, Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dilaporkan memberitahu perbincangan kerjasama antara Muda dan PH sedang berjalan lancar namun perincian akan diumumkan kemudian.

Terdahulu, Pengerusi Muda Johor, Mohd. Azrol Ab. Rahani dilaporkan memberitahu, pihaknya mahu lebih daripada 10 kerusi jika jalinan kerjasama antara kedua-dua pihak dicapai menjelang PRN Johor akan datang.

Dalam pada itu, Anwar tidak menolak khabar angin bahawa Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr. Maszlee Malik berkemungkinan bertanding dalam PRN Johor dan bakal dinamakan sebagai calon Menteri Besar gabungan berkenaan.

“Setakat ini masih belum ada perbincangan secara rasmi dibuat kepemimpinan PH (berhubung calon Menteri Besar) tetapi kita tidak menolak mana-mana calon, sedang beri pertimbangan. Kebiasaannya kita tidak akan campur calon bagi Parlimen dan DUN (Dewan Undangan Negeri), itu polisi parti, tetapi kita tidak mahu terlalu ketat dalam soal berkenaan.

“Nama-nama calon bagi 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) juga sedang dipertimbangkan di peringkat PKR negeri dan mungkin akan umum sebahagian kerusi terlebih dahulu,” katanya.

Sementara itu, Anwar turut memberitahu calon-calon PKR yang akan disenaraikan dalam PRN Johor terdiri daripada rakyat Johor atau mereka yang mempunyai talian persaudaraan ahli keluarga.

“Setakat ini (calon) mestilah orang Johor atau mereka yang ada ahli keluarga di Johor, saya pun ada ahli keluarga di Johor,” ujarnya berseloroh sambil disambut penyokong PKR yang mahu beliau bertanding sama.

Anwar juga dijadualkan menghadiri majlis ramah mesra bersama Maszlee di Simpang Renggam sebagai satu tentatif program dalam lawatan dua hari beliau ke negeri ini bermula semalam. – UTUSAN

Scroll to Top