Muda tidak bincang sertai PRK Parlimen Pulai, DUN Simpang Jeram

Muda tidak bincang sertai PRK Parlimen Pulai, DUN Simpang Jeram

SEREMBAN: Tiada sebarang perbincangan di peringkat Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) ketika ini berhubung penyertaan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Johor adalah pada 9 September depan.

Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, ketika ini adalah tempoh masa untuk memberikan penghormatan di atas pemergian penyandang kedua-dua kerusi tersebut iaitu Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub yang meninggal dunia pada 23 Julai lalu.

Tambah beliau lagi, tumpuan Muda pada waktu ini adalah Pilihan Raya Negeri (PRN) yang sedang berlangsung.

“Saya rasa ini tempoh masa untuk kita berikan penghormatan kepada arwah yang sangat rapat dengan saya dengan kalangan pemimpin Muda, berikan penghormatan. 

“Berkenaan isu pilihan raya, itu bukan dalam perbincangan kami kerana kami menghormati jasa arwah, fokus PRN, berkenaan PRK ini bukan platform untuk mengulas.

“Tidak sampai sebulan sebab itu saya maklumkan Muda, ini bukan masa fikir PRK, fokus PRN kita perlu hormati jasa arwah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas berkempen bersama calon Muda bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Temiang, Ahmad Qusyairi Abdull Rahim, 34, di sini hari ini.

Salahuddin, 61, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup meninggal dunia pada 23 Julai lalu di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah akibat pendarahan otak.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan pada 9 September ini dengan 26 Ogos sebagai hari penamaan calon.

Sementara itu, Syed Saddiq turut mengulas pertelingkahan mulut yang berlaku di antara Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang disifatkan oleh Ahli Parlimen Muar itu sebagai contoh politik lapuk dan tua. 

“Inilah contoh politik lapuk dan politik tua, akhirnya pemimpin muda melihat ini cara kita mahu naik serta membudaya dan menormalisasikan budaya lapuk sebegini. 

“Walhal sepatutnya dalam kita berpolitik kita jangan putuskan silaturahim dalam kita berpolitik kita jaga dengan kata-kata kita, dalam kita berpolitik, bertanding dengan sihat menggunakan idea dengan cara yang terbaik,” katanya.-UTUSAN.