Muhyiddin cabar Anwar Ibrahim kemuka SD, yakin dapat majoriti cukup jadi PM

Muhyiddin cabar Anwar Ibrahim kemuka SD, yakin dapat majoriti cukup jadi PM

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mencabar Pengerusi Pakatan Harapan (PH) iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan jumlah sokongan yang dimiliki bagi mengabsahkan jumlah diperoleh bagi memegang jawatan sebagai Perdana Menteri.

Muhyiddin dalam satu sidang media sebentar tadi berkata, beliau yakin telah mendapat sokongan majoriti mencukupi untuk menjadi Perdana Menteri dengan menjaga sokongan dari  115 Ahli Parlimen.

“Pada jam 10.30 pagi 22 Nov 2022, setiausaha agung PN menghantar satu lagi surat akuan ahli Dewan Rakyat yang memberi kepercayaan kepada saya untuk dilantik sebagai perdana menteri menjadikan jumlah ahli parlimen yang menyokong saya adalah seramai 115.
“Iaitu melebihi majoriti mudah 112 orang untuk membolehkan saya dilantik sebagai Perdana Menteri,”ujarnya.

Bagaimanapun, kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Negara memaklumkan Anwar Ibrahim sebagai Perdana telah membuatkan beliau rasa sangsi.

“Hari ini, Istana Negara telah mengeluarkan kenyataan bahawa Anwar yang dikatakan mempunyai sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat akan dilantik sebagai Perdana Menteri.
“Demi keyakinan rakyat akan keabsahsan Anwar sebagai Perdana Menteri, adalah sewajarnya beliau membuktikan bahawa beliau mempunyai sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat,” katanya lagi.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong telah perkenan melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-10 selaras dengan kuasa Baginda yang diperuntukkan dalam Perkara 40 (2)(A) dan Perkara 43 (2)(A) Perlembagaan Persekutuan .

Pengumuman Perdana Menteri ke-10 siang tadi  telah menoktahkan segala persoalan yang berlegar-legar sejak PRU15 tempoh hari apabila kedua-dua blok iaitu PH dan Perikatan Nasional (PN) tidak memperolehi kerusi majoriti untuk membentuk kerajaan.

Dan, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Tambun telah selesai mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 di Istana Negara sebentar tadi.

Sumber: Facebook Muhyiddin Yassin