Muhyiddin jelaskan penggantungan Kiandee ditentukan Lembaga Disiplin BERSATU

Muhyiddin jelaskan penggantungan Kiandee ditentukan Lembaga Disiplin BERSATU

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menjelaskan kuasa pemecatan atau penggantungan terhadap Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee sebagai Naib Presiden, bukan di bawah tugasnya, sebaliknya ia ditentukan Lembaga Disiplin.

Muhyiddin berkata, Lembaga Disiplin mempunyai asas dan menimbangkan sejauh mana beratnya sesuatu kesalahan dibuat ahli atau pemimpin BERSATU sebelum membuat sesuatu keputusan sama ada menggantung atau memecat mereka.

Jelasnya, keputusan berbeza yang dikenakan terhadap bekas Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin, dan Kiandee adalah berdasarkan sejauh mana besarnya tanggungjawab dan kesalahan dibuat.

“Dia ada asas-asaslah. Saya tahulah dia punya asas… keberatan kes tapi ini bukan tugas saya. Ini Lembaga Disiplin. Macam Datuk Seri Hamzah pergi, itu sudah sahlah yang saya sebutkan dulu dia pergi berunding tanpa ada kelulusan daripada Majlis Tertinggi.

“Dia melanggar perlembagaan dan sebagainya. Dia kepala… apa nak panggil kepala apa? Kalau saudara tanya antara dua itu (Hamzah dan Kiandee ) siapa yang lebih berat pegang tanggungjawab?” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU, di sini hari ini.

Terdahulu, Kiandee yang digantung keahlian parti selama dua penggal mempertikaikan keputusan Lembaga Disiplin kerana tidak memecatnya sekiranya beliau benar-benar bersalah.

Kiandee turut mengaku bahawa beliau hadir bersama Hamzah melalui perjumpaan dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Bangkok.

Dalam pada sama, Naib Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, turut mencelah pada sidang media itu dengan menyatakan Kiandee memainkan peranan sebagai ‘tukang angkat beg’ kepada Hamzah.

Sementara itu, berhubung dakwaan Kiandee bahawa pemimpin yang tinggal dalam BERSATU hanyalah yes man kepada Muhyiddin, Ahli Parlimen Pagoh itu menegaskan parti berpaksikan kepada semangat demokrasi.

Beliau bagaimanapun berkata, walaupun bersifat demokratik namun ia bukan tiket bagi mana-mana pemimpin dan ahli BERSATU untuk melakukan sesuka hati termasuk melanggar perlembagaan parti.

“Ya, itu pandangan dialah. Agak dia rasa kecewa sikit dia katalah macam-macam. Tapi bagi saya, kita adalah parti yang amat demokratik. Sampai yang berlaku ini mungkin sebab terlalu banyak demokrasilah.

“Mereka berbuat sesuka hati, cakap sewenang-wenang, langgar perlembagaan. Itu tidak boleh kita biarkan. Jadi apapun yang berlaku ialah kerana dilihat ada pelanggaran baik dari segi peraturan ataupun perlembagaan parti,” katanya.

Mengenai kehadiran pemimpin parti komponen Perikatan Nasional (PN) iaitu GERAKAN dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) pada majlis buka puasa Ketua Pembangkang, semalam, Muhyiddin berkata, itu adalah hak mereka dan beliau tidak melihat menjadi satu kesalahan.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata, calon Ketua Pembangkang baharu akan ditetapkan melalui mesyuarat Majlis Teringgi PN, Sabtu ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top