MUIP sumbang RM175,000 untuk beli 50 komputer

MUIP sumbang RM175,000 untuk beli 50 komputer

bhnews@bh.com.my

PEKAN: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) menyumbang 50 komputer berserta kelengkapan terkini bernilai RM175,000 kepada Kulliah Al-Lughah Waddin As-Sultan Abu Bakar, di sini.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman, berkata kemudahan komputer untuk kegunaan pelajar yang sedang melanjutkan pengajian di pusat pendidikan Islam itu.

Katanya, Kulliah Al-Lughah Waddin As-Sultan Abu Bakar adalah antara pusat pendidikan terkenal dan tertua di negeri ini yang telah melahirkan ramai golongan pendakwah serta guru agama terkenal.

“Komputer yang diberikan khusus untuk kegunaan pelajar di peringkat Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) selain pelajar Program Tahfiz Bestari dan program kelas bahasa Arab.

“Ia juga untuk kegunaan pelajar yang mengikuti program persediaan sebelum melanjutkan pengajian ke Universiti Al Azhar, Mesir termasuk beberapa universiti di Timur Tengah,” katanya pada majlis penyerahan replika cek bantuan berkenaan di sini, semalam.

Asmadi berkata, sumbangan komputer ini diharap dapat meningkatkan lagi imej institusi pendidikan Islam di negeri ini, seterusnya berupaya melahirkan lebih ramai lagi golongan cerdik pandai agama.

Beliau berkata, sebelum ini MUIP menyediakan bantuan sebanyak RM127,360 kepada 31 pelajar Pahang yang berjaya melanjutkan pengajian ke Universiti Al Azhar, bulan depan.

Katanya, bantuan berkenaan bagi urusan bayaran tiket penerbangan, visa, suntikan vaksin dan wang saku sebanyak RM1,200 untuk setiap pelajar.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top