Mujahadah Arafah bermula sejak hari pertama kita berniat

Mujahadah Arafah bermula sejak hari pertama kita berniat
Mujahadah Arafah bermula sejak hari pertama kita berniat

Setiap kali tibanya musim haji, perhatian umat Islam di seluruh dunia pasti tertumpu kepada Padang Arafah. Lautan manusia berpakaian ihram yang berhimpun di bumi penuh barakah itu menggambarkan kemuncak sebuah perjalanan spiritual yang menjadi impian setiap Muslim.

Di situlah jutaan tetamu Allah SWT berdiri dalam keadaan yang sama tanpa mengira darjat, bangsa atau kedudukan, memohon keampunan dan mengharapkan rahmat daripada-Nya. Rasulullah SAW sendiri menegaskan bahawa “Haji itu adalah Arafah.”

Namun, di sebalik keagungan hari Arafah, terdapat satu hakikat yang sering terlepas daripada perhatian kita. Ramai menganggap perjalanan haji bermula apabila menerima surat tawaran atau ketika pesawat berlepas menuju Tanah Suci. Hakikatnya, perjalanan itu bermula jauh lebih awal.

Arafah bermula pada hari pertama seseorang berniat di dalam hatinya untuk menjadi tetamu Allah SWT. Saat hati berkata, “Ya Allah, suatu hari nanti aku ingin menyahut panggilan-Mu,” ketika itulah bermulanya sebuah mujahadah.

Mujahadah untuk membentuk diri, mendidik jiwa, membina kemampuan dan mempersiapkan kehidupan agar layak menyempurnakan rukun Islam kelima.

Inilah hakikat yang ingin dibudayakan oleh Lembaga Tabung Haji melalui pendekatan Menuju Istito’ah. Haji bukan destinasi yang dicapai secara tiba-tiba, sebaliknya perjalanan yang perlu dirancang sepanjang hayat.

Persediaan menuju Baitullah tidak bermula di lapangan terbang atau ketika menerima visa. Ia bermula dengan niat yang ikhlas, diikuti usaha yang berterusan dan disiplin yang konsisten.

Haji menuntut kemampuan yang menyeluruh

Allah SWT mewajibkan haji hanya kepada mereka yang mempunyai kemampuan atau istito’ah. Prinsip ini membuktikan bahawa Islam ialah agama yang amat menitikberatkan keadilan dan tidak membebankan umatnya dengan sesuatu di luar kemampuan.

Malangnya, dalam masyarakat hari ini, kemampuan sering disempitkan kepada kemampuan kewangan semata mata.

Sedangkan hakikatnya, seseorang mungkin mempunyai wang yang mencukupi tetapi tidak lagi memiliki tahap kesihatan yang membolehkan beliau melaksanakan ibadah haji dengan sempurna. Ada pula yang sihat dan mempunyai simpanan, tetapi keadaan keselamatan dunia atau kuota haji tidak mengizinkan.

Atas sebab itu, Tabung Haji melihat konsep istito’ah secara lebih menyeluruh melalui empat komponen utama, iaitu kewangan, kesihatan, keselamatan dan kebenaran atau kuota.

Keempat empat elemen ini saling berkait dan saling melengkapi. Apabila seseorang mempunyai simpanan yang mencukupi, tubuh yang sihat, keadaan perjalanan yang selamat serta telah tiba gilirannya, ketika itulah beliau benar-benar bersedia menjadi tetamu Allah SWT.

Perspektif inilah yang perlu difahami oleh seluruh umat Islam supaya persediaan haji tidak lagi dilihat sebagai usaha mengumpulkan wang semata mata, tetapi sebagai usaha membina kehidupan yang seimbang dan bersedia dari semua sudut.

Cabaran baharu menuntut budaya baharu

Cabaran menunaikan haji hari ini jauh berbeza berbanding beberapa dekad yang lalu. Jumlah umat Islam dunia terus meningkat, sedangkan keluasan Masjidil Haram dan kapasiti kawasan masyair tetap mempunyai had tertentu.

Kuota haji yang diperuntukkan kepada setiap negara perlu diagihkan secara adil supaya semua umat Islam di seluruh dunia mendapat peluang yang saksama.

Dalam masa yang sama, cabaran cuaca di Tanah Suci menjadikan kesiapsiagaan kesihatan semakin penting.

Suhu yang tinggi serta pelaksanaan ibadah yang memerlukan ketahanan fizikal menuntut bakal jemaah berada dalam keadaan kesihatan yang optimum agar mereka dapat menunaikan ibadah dengan selamat, selesa dan penuh tumpuan.

Arab Saudi juga semakin memperketatkan syarat kesihatan bagi memastikan keselamatan jutaan jemaah yang berkumpul pada masa yang sama. Ini bermakna kesiapsiagaan fizikal bukan lagi pilihan, tetapi satu keperluan.

Pada masa yang sama, hampir keseluruhan ekosistem pengurusan haji kini dipacu oleh teknologi digital. Daripada permohonan visa, pengurusan Nusuk, kawalan pergerakan sehingga pelbagai urusan di Tanah Suci, semuanya memerlukan tahap literasi digital yang lebih baik.

Semua perkembangan ini membawa satu mesej yang jelas. Persediaan haji hari ini tidak boleh lagi dilakukan pada saat akhir. Ia perlu bermula lebih awal dan dilaksanakan secara sistematik.

Realiti yang perlu diubah

Di Malaysia, kesedaran untuk menunaikan haji sentiasa tinggi. Namun kesedaran sahaja belum mencukupi sekiranya tidak disusuli dengan persediaan yang berterusan.

Lebih separuh daripada pendeposit Tabung Haji masih mempunyai simpanan di bawah RM1,300. Ini menunjukkan masih ramai yang belum membina tabungan secara konsisten walaupun mempunyai hasrat untuk menunaikan haji suatu hari nanti.

Dalam aspek kesihatan pula, terdapat bakal jemaah yang terpaksa menangguhkan impian mereka setiap tahun kerana gagal melepasi pemeriksaan kesihatan.

Pada musim haji 2026, seramai 1,212 bakal haji tidak melepasi saringan kesihatan selepas menerima surat tawaran.

Angka ini bukan sekadar statistik. Ia membawa mesej bahawa persediaan menuju Baitullah memerlukan masa. Penyakit kronik memerlukan masa untuk dipulihkan. Simpanan sukar dibina dalam keadaan tergesa-gesa. Ilmu pula memerlukan proses pembelajaran dan pemahaman yang berterusan.

Semakin awal seseorang memulakan persediaan, semakin besar peluang untuk beliau menyempurnakan ibadah haji dengan lebih tenang dan sempurna.

Membina budaya Menuju Istito’ah

Inilah sebabnya Tabung Haji memperkenalkan Kempen Menuju Istito’ah. Objektifnya jauh lebih besar daripada menggalakkan orang ramai menyimpan wang.

Kami mahu membina budaya baharu dalam kalangan umat Islam bahawa persediaan haji ialah sebahagian daripada gaya hidup.

Membuka akaun Tabung Haji bukan sekadar membuka sebuah akaun simpanan. Ia adalah permulaan sebuah perjalanan menuju Baitullah.

Selepas itu, perjalanan diteruskan dengan menyimpan secara berkala, menjaga kesihatan, menuntut ilmu, menghadiri kursus haji dan membentuk disiplin diri sehingga tiba saat Allah SWT menjemput seseorang menjadi tetamu-Nya ibadah dapat dilaksanakan dalam keadaan tenang dan kemabruran.

Apabila budaya ini berjaya dibentuk, masyarakat akan lebih bersedia bukan sahaja daripada segi kewangan, malah daripada aspek fizikal, mental dan kerohanian. Inilah matlamat sebenar yang ingin dicapai.

Amanah yang dipikul Tabung Haji

Sejak ditubuhkan lebih enam dekad lalu, Tabung Haji diberikan amanah yang jauh lebih besar daripada mengurus perjalanan haji. Institusi ini diwujudkan bagi membantu umat Islam Malaysia membuat persediaan yang terancang untuk menunaikan rukun Islam kelima apabila mencapai Istito’ah.

Ekosistem yang dibangunkan menggabungkan simpanan, pelaburan patuh syariah, bimbingan ibadah serta pengurusan haji secara menyeluruh. Model inilah yang menjadikan Tabung Haji unik dan sering dijadikan rujukan oleh banyak negara Islam.

Hari ini, lebih 9.8 juta pendeposit meletakkan kepercayaan atas simpanan mereka kepada Tabung Haji dengan dana keseluruhan mencecah RM95 bilion.

Kepercayaan ini bukan sahaja lahir daripada prestasi kewangan, tetapi juga keyakinan bahawa setiap simpanan menjadi sebahagian daripada usaha memperkukuh ekosistem haji negara.

Masa depan bermula hari ini

Masa depan haji bukan sekadar bergantung kepada teknologi, aplikasi digital atau kemudahan yang lebih moden. Semua itu penting dan akan terus diperkasakan. Namun asas kepada perjalanan haji tetap tidak berubah.

Ia bermula dengan niat, diikuti ilmu, disusuli usaha, diperkukuh dengan disiplin dan akhirnya disempurnakan dengan tawakal kepada Allah SWT.

Sebab itu, pesanan saya kepada seluruh umat Islam, khususnya generasi muda. Jangan menunggu sehingga usia meningkat untuk mula membuat persediaan.

Jangan menunggu sehingga menerima surat tawaran untuk mula menyimpan. Jangan menunggu sehingga badan mula lemah untuk menjaga kesihatan.

Mulakan mujahadah Arafah hari ini. Mulakan dengan membuka akaun Tabung Haji. Mulakan dengan menyimpan sedikit demi sedikit. Mulakan dengan berjalan setiap hari demi kesihatan. Mulakan dengan menghadiri kursus untuk menuntut ilmu.

Kerana setiap langkah kecil yang dilakukan hari ini sebenarnya adalah sebahagian daripada mujahadah menuju Baitullah dan pasti akan diberi ganjaran oleh Allah S.W.T.

Semoga apabila seruan Allah SWT tiba nanti, kita bukan sekadar berpeluang menjadi tetamuNya, malah hadir dalam keadaan yang benar-benar bersedia, tenang dan mampu menumpukan seluruh jiwa kepada ibadah untuk memperoleh haji yang mabrur.

Sesungguhnya, Arafah bukan bermula apabila kita berdiri di Padang Arafah tetapi bermula sejak hari pertama kita berniat menjadi tetamu Allah SWT.

Artikel ini ditulis Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji, Mustakim Mohamad

Scroll to Top