am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : “Muka saya paling banyak kena scam.”
Demikian luahan kecewa usahawan selebriti, Datuk Seri Aliff Syukri apabila mendakwa identitinya kini menjadi ‘sasaran utama’ sindiket penipuan antarabangsa sehingga mengakibatkan ribuan peminatnya kerugian.
Aliff Syukri mendedahkan taktik sindiket ini semakin licik apabila mereka kini beralih kepada teknologi kecerdasan buatan (AI) yang mampu meniru wajah dan suaranya dengan sangat tepat sehingga sukar dibezakan dengan yang asli.
“Sekarang lagi bahaya sebab mereka guna AI untuk tiru suara saya. Mereka buat video seolah-olah saya yang bercakap ajak beli barang, padahal itu semua palsu. Dengan adanya AI, lagi senang mereka nak menipu mak cik-mak cik yang tak tahu pasal IT,” katanya sambil menunjukkan bukti paparan skrin di telefon bimbitnya kepada media.
Menurutnya, pendedahan ini dibuat bukan untuk berbangga diri, sebaliknya sebagai amaran keras kepada orang ramai supaya tidak mudah terpedaya.
“Sebab itu saya kata, kalau nak beli belilah di platform yang betul. Dengan nama Allah, ini bukan gimik.
“Saya tak larat dah nak hadap sebab muka saya terlalu kerap digunakan untuk scam. Kalau anda nak tahu, muka paling banyak kena ‘scam’ kat Facebook adalah muka saya,” katanya lagi.
Mendedahkan modus operandi sindiket terbabit, Aliff berkata mereka yang dipercayai beroperasi dari luar negara seperti Vietnam dan China itu sanggup berbuat apa sahaja demi mengaut keuntungan mudah.
“Ada di kalangan mereka terpedaya sebab tengok iklan AI muka saya. Beli lima percuma lima, tapi bila sampai, tahu mereka hantar apa? Mereka hantar kertas, ‘pampers’ dan lain-lain lagi!
“Paling bahaya, ada yang guna muka saya untuk buat cabutan bertuah palsu dan minta deposit RM300. Saya dah buat laporan polis, tapi bila melibatkan sindiket luar negara, pihak berkuasa pun sukar nak ambil tindakan,” tegasnya.
Enggan terus melihat pengikut setianya menjadi mangsa, penyanyi lagu Mama Papa Raya itu nekad melancarkan kempen “Jualan Mega Terlajak Raya Aidiladha” dengan kerjasama GNI Pharma Sdn Bhd sebagai ‘benteng’ buat pelanggannya.
Menerusi kempen yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM300,000 itu, Aliff ingin memastikan peminatnya hanya berurusan melalui saluran yang sah sambil berpeluang memenangi ganjaran lumayan.
“Daripada anda tertipu dengan scammer, lebih baik sertai kempen rasmi ini. Saya nak bagi semula rezeki kepada pelanggan yang selalu sokong saya. Ada hadiah tunai RM100,000, malah boleh pergi umrah dan bercuti dengan saya sekali,” ujarnya.
Kempen yang berlangsung dari 21 hingga 25 Mei ini bakal menyaksikan pelancaran produk premium Sabun Blue Peptide yang diformulasikan khusus untuk mereka yang berusia 30 tahun ke atas.
Tegas Aliff, pengumuman pemenang akan dibuat secara telus menerusi akaun Facebook Live rasminya sahaja bagi mengelakkan kekeliruan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




