Kuala Lumpur: Filem Munajjim: Sekutu Iblis terbitan Yusrych Global Sdn Bhd terus menjadi pilihan utama penonton sejak ditayangkan pada 31 Julai lalu.
Lebih membanggakan, filem genre seram ini konsisten berada dalam kelompok filem pilihan “Top 10 Movies” setiap hujung minggu hingga ke hari ini.
Sempena bulan Kemerdekaan, rangkaian pawagam terbesar negara iaitu TGV Cinemas mengambil peluang menghargai sokongan penonton dengan menawarkan harga tiket istimewa serendah RM10 kepada ahli MovieClub TGV.
Pada masa yang sama, tayangan filem yang menampilkan barisan pelakon terkenal tanah air seperti Farid Kamil, Uqasha Senrose, Mustaqim Bahadon, Sherie Merlis, Che Puan Juliana Evans serta pendatang baharu Daniel Aqil turut dilanjutkan sehingga Hari Kemerdekaan ke-68.
Langkah ini diyakini mampu memberi peluang lebih ramai penonton menikmati pengalaman menonton sebuah filem yang diinspirasikan daripada kisah benar.
Pawagam TGV yang bakal menayangkan filem arahan Faizul A Rashid ini antaranya TGV Central i-City, Bukit Tinggi, DPulze, Ampang, Bukit Indah, Toppen, Tasek Central, Sri Manjung, Vivacity, Mesra Mall, Klebang, Rawang, Seremban dan Tebrau.
Filem ini mengisahkan amalan dua beranak yang taksub dengan bomoh mengundang padah apabila si anak menggunakan ilmu hitam untuk membalas dendam terhadap bekas kekasih isterinya yang mengganggu rumah tangga mereka dengan sihir tetapi ilmu hitam itu berpatah balik seterusnya mengancam nyawa mereka sekeluarga.
© New Straits Times Press (M) Bhd




