Muncul Dengan Single Baharu Berjudul ‘Jauh’, Danial Kifli Mahu Fokus Genre Balada

Muncul Dengan Single Baharu Berjudul ‘Jauh’, Danial Kifli Mahu Fokus Genre Balada

Mula dikenali menerusi single Pergilah Cinta, penyanyi baharu Danial Kifli mula mendapat perhatian.

Baru saja melancarkan lagu dan muzik video terbaharu berjudul Jauh, Danial yang bernaung di bawah syarikat Awal Muzik mahu memberikan fokus terhadap genre balada.

Jauh merupakan hasil ciptaan Sang Ritma dan Danial juga turut memberi sentuhan tersendiri menerusi lirik dan melodi single terbaharu ini.

“Saya sudah muncul dengan tiga single sebelum ini iaitu Permata Istimewa, Pergilah Cinta dan Musnah. Kini, rezeki saya muncul dengan Jauh yang merupakan single keempat.

“Selepas merakamkan empat single, saya nampak hala tuju saya lebih ke arah lagu-lagu perlahan berirama balada. Jadi, saya mahu mengukuhkan kedudukan saya dalam genre muzik balada ini sebelum mencuba genre berbeza,” katanya kepada XTRA.

Danial ditemui pada majlis pelancaran lagu dan muzik video Jauh di Juff Coffee, Southville, Dengkil, Selangor, baru-baru ini.

Bersyukur mendapat sambutan luar biasa, Danial mendedahkan lagu Jauh menceritakan mengenai kisah seseorang yang kehilangan dua individu kesayangan dalam masa serentak.

“Alhamdulillah, biarpun saya masih baru dalam bidang muzik, saya bersyukur dengan sambutan luar biasa yang diterima oleh pendengar. Lagu Jauh ini menceritakan tentang kehilangan dua insan tersayang serentak yang membuatkan hidup lelaki itu jadi kosong, keliru dan sedih.

“Apa yang membuatkan lagu ini istimewa adalah kerana jalan ceritanya yang penuh tersirat dan lirik yang mendalam. Melodi pula kena dengan jiwa saya. Saya berharap agar lagu ini mendapat tempat di hati orang ramai, Insya-Allah,” jelasnya.

Scroll to Top