Mungkin masalah wayar pada soket – Pakar

Mungkin masalah wayar pada soket – Pakar

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Renjatan elektrik menyebabkan seorang remaja maut ketika mengecas telefon bimbitnya menggunakan soket sebuah bas ekspres pada Jumaat lalu berkemungkinan disebabkan masalah wayar pada soket.

Prof Dr Sawal Hamid Md Ali dari Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, pelbagai faktor boleh berlaku renjatan elektrik dan memerlukan siasatan lanjut untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Menurutnya, masalah wayar pada soket dan masalah pengecas juga boleh menjadi punca berlaku renjatan elektrik.

“Dalam kes itu, saya menjangkakan renjatan elektrik berlaku dari soket 220/240V (voltan) dalam bas dan bukannya daripada pengecas USB.

“Ini kerana kuasa dari pengecas USB hanya sekitar lima voltan DC, tidak boleh memberi renjatan elektrik yang boleh membawa maut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, sesetengah bas ekspres mempunyai ‘inverter’ untuk menghasilkan 240V AC yang sama kuasanya dengan soket elektrik di rumah.

“Oleh itu, renjatan elektrik boleh berlaku dan puncanya adalah pelbagai. Masalah wayar pada soket dan masalah pada pengecas juga boleh menjadi punca.

“Sebagai contoh, pengecas telefon yang tidak mempunyai isolasi baik antara voltan tinggi ke voltan rendah akan menyebabkan voltan tinggi boleh melepasi dan boleh terkena ke bahagian badan yang tersentuh,” katanya.

Mengulas mengenai risiko renjatan elektrik berlaku ketika mengecas telefon di dalam kenderaan, beliau berkata, tindakan itu tidak berisiko tinggi.

“Jika mengecas dalam kenderaan (kereta), mungkin tidak ada risiko kerana ia hanya mengeluarkan kuasa 12V dari kereta dan kemudian ditukar ke 5V ke USB. Jumlah DC 5V adalah tidak berbahaya.

“Setakat yang saya tahu, tidak ada kereta yang menggunakan soket AC 240V,” katanya.

Semalam, Harian Metro melaporkan remaja lelaki maut dengan tangan kirinya melecur akibat terkena renjatan elektrik semasa mengecas telefon bimbitnya di soket sebuah bas ekspres dalam kejadian di Terminal Bas Penang Sentral.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top