Majoriti murid berbangsa Cina di peringkat menengah masih memilih untuk mengikuti pendidikan di sekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM), dengan jumlahnya jauh mengatasi bilangan pelajar yang mengikuti sistem pendidikan berasaskan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC).

Memetik laporan Buletin TV3, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memaklumkan bahawa sehingga tahun ini, seramai 260,699 murid berbangsa Cina sedang mengikuti pendidikan menengah di sekolah di bawah KPM.
Menurut beliau, seramai 75,144 murid pula mengikuti pendidikan di Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC), manakala 51,563 murid lagi belajar di institusi pendidikan swasta.
“Ini menjadikan jumlah keseluruhan murid menengah berbangsa Cina berjumlah 387,406 orang.
“Berdasarkan data berkenaan, 19.4 peratus murid berbangsa Cina mengikuti sistem pendidikan UEC, 67.3 peratus mengikuti pendidikan menengah di sekolah bawah Kementerian Pendidikan (KPM) dan 13.3 peratus lagi di institusi pendidikan swasta,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen, semalam.
![]()
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Ahmad Saad @ Yahaya (PN-Pokok Sena) yang meminta Menteri Pendidikan menyatakan peratusan pelajar berbangsa Cina yang mengikuti sistem pendidikan UEC berbanding mereka yang belajar di sekolah aliran kebangsaan.
Artikel lain: Lebih 1000 sekolah tak selamat, daif – Fadhlina Sidek
Berdasarkan angka yang dikemukakan, lebih dua pertiga daripada keseluruhan murid berbangsa Cina di peringkat menengah memilih untuk meneruskan persekolahan di bawah sistem pendidikan kendalian KPM, manakala kurang satu perlima mengikuti sistem UEC melalui SMPC. Selebihnya pula mendapatkan pendidikan di institusi pendidikan swasta.
Sumber: Buletin TV3



