Mustapha sanggah fitnah mengaitkan isteri dengan kes Zara Qairina

Mustapha sanggah fitnah mengaitkan isteri dengan kes Zara Qairina

essabuyamin@bh.com.my

Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mustapha Sakmud menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang cuba mengaitkan isterinya dengan insiden tragik membabitkan Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, baru-baru ini.

Beliau menyifatkan tuduhan yang dilemparkan oleh Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam perbahasan Dewan Rakyat itu bukan saja tidak berasas, malah tidak mencerminkan akhlak seorang Muslim.

“Ia bukan saja mengelirukan rakyat, malah mencemarkan reputasi individu yang tidak lagi terbabit dalam perkhidmatan awam.

“Untuk makluman, isteri saya, Cikgu Rosnih Nasir, adalah bekas Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan, Papar.

“Beliau hanya berkhidmat di sekolah berkenaan dari 20 Mac hingga 22 November 2024 sebelum bersara sepenuhnya daripada perkhidmatan pendidikan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Mustapha yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi berkata, selepas persaraan berkenaan, isterinya itu tidak mempunyai sebarang keterbabitan dalam urusan pentadbiran atau pengurusan sekolah, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung.

“Insiden tragik yang menimpa Allahyarhamah Zara Qairina berlaku pada 16 hingga 17 Julai 2025, iaitu hampir lapan bulan selepas persaraan isteri saya.

“Maka, sebarang cubaan untuk mengaitkan beliau dengan insiden berkenaan adalah fitnah semata-mata dan satu bentuk manipulasi politik yang tidak berasas,” katanya.

Dalam pada itu, pihaknya sekeluarga menyeru semua pihak agar mengamalkan prinsip tabayyun, menyelidik sebelum menuduh dalam menyampaikan sebarang kenyataan.

“Hentikanlah eksploitasi terhadap tragedi ini sebagai modal politik. Hormatilah proses siasatan yang sedang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan hentikan penyebaran fitnah yang boleh menjejaskan reputasi serta emosi individu yang tidak bersalah.

“Akhir sekali, saya dan keluarga merakamkan ucapan takziah yang setulusnya kepada keluarga Allahyarhamah Zara Qairina.

“Kami mendoakan agar mereka dikurniakan kekuatan menghadapi ujian ini dan semoga keadilan dapat ditegakkan dengan sebaik-baiknya buat arwah,” katanya.

Terdahulu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan kes kematian seorang pelajar perempuan sebuah sekolah di Papar, yang meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sekolah berkenaan.

Zara Qairina Mahathir, 13, pelajar Tingkatan Satu, ditemui kira-kira jam 3 pagi, 16 Julai lalu, dalam keadaan parah di bawah bangunan asrama sebelum dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), untuk rawatan lanjut.

Ā© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top