Muzik video rasmi Penjuara, nyanyian Hael Husaini yang juga lagu runut bunyi filem animasi Ejen Ali The Movie 2 (EATM2), kini boleh ditonton di saluran YouTube rasmi Ejen Ali.
Lebih membanggakan, karya berkenaan turut melangkah ke Carta Mingguan Muzik-Muzik 40, sekali gus membuka peluang besar untuk mara ke pentas berprestij Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40).
Disusun daripada babak-babak ikonik filem EATM2, muzik video Penjuara menghidupkan kembali perjalanan Ali dalam misi penuh cabaran daripada operasi taktikal MATA hinggalah detik getir pertembungan dengan Neonimus.
Gabungan visual sinematik dan kekuatan melodi menjadikan Penjuara bukan sekadar sebuah lagu, malah naratif perjuangan yang sarat semangat juang serta keyakinan diri.
Hael berkata, lagu berkenaan dicipta untuk memberi inspirasi kepada sesiapa yang tidak pernah gentar menghadapi cabaran.
“Penjuara adalah tentang keberanian untuk terus mara ke hadapan walaupun diuji dalam permainan minda. Ia mencerminkan semangat juang yang tidak pernah mengalah,” katanya.
Kini, perjuangan Penjuara diteruskan dengan sokongan peminat. Lagu ini memerlukan undian untuk kekal dalam Carta Muzik-Muzik 40 dan seterusnya melayakkan diri ke Separuh Akhir Muzik-Muzik sebelum melangkah ke AJL40.
Undian boleh dibuat di www.tonton.com.my/muzikmuzik setiap minggu bermula Ahad, jam 12 tengah hari hingga Khamis, 12 tengah hari.
Jangan ketinggalan menonton muzik video penuh Penjuara di YouTube rasmi Ejen Ali.




