syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) buat julung kalinya, menganjurkan pementasan teater muzikal berjudul Muzikalisasi Lindung – Hati Nan Prihatin di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), di sini.
Presiden PROFIMA, Khalil Saleh, berkata penganjuran itu turut menerima sokongan penuh daripada DBP sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan penggiat seni tanah air.
“Ia adalah inisiatif penghargaan penting kepada sektor kesenian, khususnya pekerja dalam ekosistem pekerjaan bebas (gig workers) yang memerlukan perlindungan keselamatan sosial.
“Program ini menekankan mesej bahawa warga seni juga berhak menikmati perlindungan sosial, selaras dengan usaha PERKESO memperluas jaringan keselamatan kepada semua pekerja,” katanya.
Khalil berkata, pementasan yang diarahkannya bersama Roslan Madun menggabungkan elemen nyanyian, lakonan, bacaan puisi, tarian serta persembahan berkonsepkan warisan budaya sebagai cerminan kekayaan seni dan identiti Malaysia.
“Menariknya, pementasan ini menampilkan figura seni tersohor seperti Roslan Madun, Datuk Ahmad Tamimi Siregar, Zaidi Omar, Haziq Rosebi, Wanie Kayrie, Hazra Dollah, Sitara Syaimaa dan ramai lagi sebagai simbol perpaduan komuniti seni.
“Satu persembahan istimewa turut dipersembahkan melalui penyampaian puisi oleh Wan Saiful Shahrizan (Wan Shah) yang juga seorang pengarah filem serta penerima manfaat PERKESO, berkongsi kisah benar hidupnya menerusi karya itu,” katanya.
Menurutnya, kejutan terbesar malam itu hadir menerusi persembahan khas Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, yang menunjukkan sokongan padu kerajaan terhadap usaha memperkasakan perlindungan sosial untuk penggiat seni.
Program berkenaan turut dihadiri kepimpinan tertinggi PERKESO, DBP, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) serta penggiat seni profesional, melambangkan komitmen bersama memperkukuh ekosistem seni negara.
“Program ini diharap menjadi pemangkin kepada kesedaran lebih luas mengenai kepentingan keselamatan sosial, selain meningkatkan penghargaan terhadap peranan penggiat seni sebagai aset negara,” katanya.
Khalil yang juga ahli jawatankuasa Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (Lindung Kendiri) PERKESO berharap lebih ramai penggiat seni mengambil langkah mendaftar menerusi caruman skim berkenaan bagi menjamin masa depan lebih selamat dan terjamin.
© New Straits Times Press (M) Bhd




