Nabi SAW selesaikan pertelingkahan letak Hajar al-Aswad

Oleh NIK MUHAMMAD NASRI NIK MALEK

Keadilan Islam dalam lipatan sejarah (Siri 4)

KETIKA Nabi SAW berumur 35 tahun, banjir melanda Mekah menyebabkan Kaabah rosak teruk. Sebelum itu Kaabah telah sedia rosak dengan sebab terbakar. Oleh itu, orang Arab Quraisy berazam mahu merobohkannya dan membuat baru serta mahu diangkat tinggi sedikit dari tapak asalnya dan diletakkan atap. Mereka menggunakan wang yang dianggap bersih untuk membina Kaabah.

Nampaknya orang Quraisy mengambil kira sumber duit apabila ia melibatkan pembinaan Kaabah. Oleh sebab itu, apabila duit yang bersih itu tidak mencukupi, kawasan sebelah Hijr Ismail hanya dapat dibina separuh dan sebahagian bulatan sahaja, dan inilah yang wujud hingga sekarang.

Apabila Kaabah siap dibina secara bergotong-royong, sampai masa meletakkan Hajar al-Aswad di sudut Kaabah itu. Ketika ini kabilah Arab Quraisy bertelingkah kerana menganggap kabilah masing-masing paling layak meletakkan Hajar Aswad.

Advertisement

Pertelingkahan ini berlaku selama 4 hari, hampir mencetuskan perang di antara mereka.

Abu Umayyah bin Al-Mughirah Al-Makhzumi, veteran di Mekah memberikan pendapatnya:

‘Wahai kaum! Kamu jangan bertelingkah. Lantik hakim yang kamu setuju hukumannya.’

Mereka menjawab: ‘Kita serahkan urusan ini kepada orang yang paling awal masuk ke sini’.

Orang yang mula-mula masuk ialah rasul yang dipercayai, Muhammad SAW. Tentulah perkara ini tidak berlaku secara kebetulan. Ia dengan kehendak Allah dan hikmah-Nya.

Lalu kesemua mereka lega kerana mereka tahu sifat amanah, bercakap benar yang ada kepada Baginda. Mereka berkata:

هذا الأمين رضيناه، هذا محمد

‘Ini ialah Al-Amin, orang yang bersifat amanah. Kami sukakannya. Ini Muhammad.’

Orang Quraisy sebelum itu sentiasa menjadikan Nabi SAW sebagai hakim yang menyelesaikan pelbagai perselisihan di antara mereka, dan mereka redha hukumannya, kerana Nabi tidak pernah mengelat atau menipu.

Ini menunjukkan Nabi sebenarnya telah diakui integritinya yang tidak boleh dipertikai sejak muda sebelum menjadi Nabi. Lalu apakah ada alasan untuk menolaknya selepas menjadi Nabi?

Apabila orang Quraisy menceritakan kisah mereka, Nabi menghamparkan kainnya dan bersabda:

لتأخذ كل قبيلة بنحية من الثوب

‘Hendaklah setiap kabilah memegang tepi kain ini’

Kemudian Nabi meletakkan Hajar al-Aswad di tengahnya. Nabi perintahkan supaya kain diangkat menuju ke tempatnya. Nabi mengambil Hajar al-Aswad dengan tangannya yang mulia dan diletakkan pada tempatnya.

Kita dapat saksikan bagaimana Nabi SAW mampu menyelesaikan perselisihan faham antara kabilah Arab Quraisy, yang mungkin merebak hingga berlakunya perang dan pertumpahan darah, hanya dengan sebab Hajar al-Aswad.

Keadilan dan kebijaksanaan Nabi memadamkan api permusuhan, menggantikannya dengan sifat saling tolong-menolong mengangkat batu itu.

Kita diajar supaya bersifat dengan sifat Nabi. Permusuhan sesama ‘kabilah’ mesti dihentikan, tetapi tentulah dengan diajak kembali kepada Islam, bukan hanya kerana bangsa yang sama. Perselisihan faham dan pertikaian sentiasa ada. Namun kebijaksanaan dan hikmah dapat meredakan dan mengurangkan ketajaman pertikaian itu.

Hajar Aswad adalah batu hitam. Ia dimuliakan kerana kita diperintah untuk memuliakannya. Janganlah pula hati kita yang menjadi hitam, lalu tidak nampak kebenaran. – HARAKAHDAILY 5/8/2021

Penulis adalah Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu.