am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Suami adalah pengkritik paling hebat dalam lakonan,” kata pelakon popular, Nabila Huda, 41.
Nabila atau nama sebenarnya, Nabila Huda Suhaimi berkata, suaminya, Mohd Izwan Johar sering mengkritik setiap drama dan filem lakonannya bila mereka di rumah.
“Antara kritikannya seperti ‘awak nampak macam berlakon sangat lah atau saya rasa awak tak berlakon dan nampak macam buat-buat sangat’
“Kalau saya berlakon dalam drama pun, dia tahu kalau saya tak ‘perform’ dalam cerita itu.
“Sebab itu, tidak perlu bawa suami saya tengok filem lakonan saya kerana akan berasa sakit hati kerana komennya juga jujur,” katanya ketika ditemui pada sesi santai media bersama pelakon teater Muzikal Sulalat’Us Salatin di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini, petang semalam.
Mengulas pencalonannya dalam Top 5, kategori Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem Telaga Suriram pada Festival Filem Malaysia (FFM) ke-34, Nabila berkata, dia tidak meletakkan harapan untuk menang.
Menerusi kategori Pelakon Wanita Terbaik, Nabila bersaing dengan Datin Sofea Jane (Mencari Ramlee), Khatijah Tan (Jangan Pandang Belakang, Aku Tahu Asal Usulmu), Maya Karin (Telaga Suriram) dan Sweet Qismina (Babah)
“Saya memang dari dulu tak pernah mengharap dicalonkan pun dalam FFM sebab saya tetap berasa bukan yang terbaik.
“Jiwa kita sebagai pelakon memang ada berasa macam ada lagi pelakon lain lebih hebat atau saya berlakon macam kayu lagi dan saya tetap berasa macam tu sampai sekarang.
“Apapun, saya tetap bersyukur bila dicalonkan dalam Top 5 FFM34 kerana masih dipilih untuk dihargai dalam industri seni. Tapi barisan calon lain dalam senarai itu sangat sengit,” katanya yang pernah memenangi trofi Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem Munafik pada FFM28.
Dalam filem Telaga Suriram arahan Osman Ali, Nabila membawakan watak seorang gadis bisu iaitu Maimon yang juga pengasuh Suriram.
“Bagi saya watak Maimon ini berbeza dari lakonan sebelum ini dan sangat menarik kerana tiada dialog dan lebih pada bermain dengan ekspresi wajah,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Nabila melakonkan watak Puteri Gunung Ledang dalam pementasan teater Muzikal Sulalat’Us Salatin yang mulai dipentaskan di DBP esok hingga 2 November ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




