georgie@hmetro.com.my
DUA dekad bukan satu tempoh singkat sebagai anak seni. Bagi penyanyi dan penulis lagu Indonesia, Ello, kembara itu memberikannya pelbagai pengalaman pahit manis yang membentuk dirinya hari ini.
Ello atau atau nama sebenarnya Marcello Tahitoe mengakui ia bukan satu laluan mudah. Pelbagai cabaran dan rintangan dilaluinya, namun mengajarnya lebih menghargai setiap detik dan peluang yang datang.
Dia menekankan penting menghargai setiap momen, setiap peluang dan setiap kesempatan diberikan kepadanya. Baik atau buruk pengalaman itu, dia menerimanya dengan hati terbuka dan lapang dada.
“Dua dekad itu tempoh yang cukup lama ya dan saya melalui pelbagai suka duka. Semua itu sudah saya rasakan. Namun, semakin banyak saya tahu, semakin sedar betapa sedikitnya saya tahu sebenarnya.
“Bagi saya, berada di sini selama 20 tahun menjadikan saya lebih berpijak di bumi nyata dan sentiasa ingin berkarya,” katanya.Ello mengakui dirinya tidak pernah diam dan sentiasa terdorong untuk menghasilkan karya baharu. Dia menggali potensi diri setiap masa tanpa mengira berapa lama lagi terus bertahan dalam industri.
Seiring sambutan dua dekadnya, juga tampil dengan buah tangan terbaharu buat peminat iaitu album berjudul Ombak Melankolia. Album itu menampilkan sisi kematangan Ello dalam berkarya.
Sebuah lagu yang cukup besar nilai sentimental buatnya dalam album itu adalah Terlupakan. Lagu berdurasi enam minit setengah minit itu disifatkan Ello sebagai sebuah karya yang sangat peribadi.
“Kamu perlu dengar lagu Terlupakan ini. Ia sangat peribadi, sangat. entahlah. Sudah 20 tahun saya berkarya dalam muzik, apabila kita berhadapan dengan industri, kadang-kadang kita kurang jujur untuk menulis lagu.
“Ini kerana kita hanya mahu menulis lagu yang akan diputarkan di radio atau menjadi hit atau mendapat penstriman yang banyak atau terjual,” katanya.
Bagaimanapun, emosi yang dirasainya ketika menghasilkan lagu itu cukup berbeza. Dia akui hanya membuat lagu yang membuat hatinya resah. Jadi, apabila dia merasakannya, dia tulis.
Sebab itu menurutnya, dia tidak berfikir sama ada ia akan diputarkan di radio atau tidak kerana durasinya enam setengah minit. Dia sendiri akui ia mesra radio sama sekali, tetapi percaya durasi itu paling sempurna.
“Ia memang paling tepat enam minit setengah. Sekarang saya hanya menulis sesuatu yang memang sangat peribadi sebagaimana mendiang Glenn Fredly pernah cakap, apa yang dari hati, sampai ke hati,” katanya.
Dari segi evolusi muziknya, Ello tidak mahu terikat dengan satu genre sahaja. dia mengakui album terbaharunya lebih menjurus kepada pop, namun baginya pop bukan satu genre, tetapi lebih kepada satu budaya.
Dia memberi contoh bagaimana pada era 90-an, muzik rock dianggap pop kerana ia menguasai media dan di Indonesia dalam lima tahun kebelakangan ini, muzik folk pula yang menjadi pop.
Ini menunjukkan keterbukaannya meneroka pelbagai bunyi dan gaya muzik, tanpa mahu dilabelkan atau terperangkap dalam satu kotak sahaja. Baginya, yang penting adalah mesej dan rasa ingin disampaikan.
Inspirasinya dalam menghasilkan lagu sepanjang 20 tahun kerjayanya banyak datang daripada pengalaman peribadi. Perihal kisah cinta adalah antara tema yang sering diangkat dalam karyanya.
“Saya pernah jatuh cinta, pernah marah kerana cinta dan saya pernah mendapatkan kembali kepercayaan dalam cinta. Jadi, kebanyakannya, saya menghasilkan sesuatu yang memang saya rasakan,” katanya.
Dalam pada itu, vokalis Dewa sejak 2022 ini turut berkongsi mengenai bahawa dia mempunyai prinsip untuk tidak membawakan lagu Dewa ketika membuat persembahan solo.
Ini kerana dia mahu membezakan identitinya sebagai Ello dan sebagai Ello bersama Dewa.
“Sejak awal saya karier bersama Dewa pun, apabila diajak, saya punya prinsip saya tidak akan pernah bawakan lagu Dewa. Kerana saya ada lagu sendiri. Jadi, saya tidak pernah mahu bawakan lagu Dewa.
“Saya suka ada perbezaan di situ. Jadi, saya ada lagu lain, harapnya penonton tahu. Semuanya mengenai getaran yang baik. Jika getarannya betul, mereka boleh menikmatinya,” tambahnya.
Janji aksi hebat di Sabah
Menariknya, Ello bakal meraikan ulang tahun ke-20 kerjayanya dengan sebuah persembahan istimewa di Malaysia. Penyanyi Pergi Untuk Kembali ini bakal menggegarkan Sabah menerusi Konsert 2 Dekad Ello X Kotak.
Konsert pada 14 Jun depan di ITCC Penampang, Sabah bukan sahaja satu pencapaian peribadi, tetapi juga menjadi medan untuk Ello pukau peminat baharu.
Baginya, di Malaysia, khususnya Sabah mempunyai tempat yang istimewa di hatinya dan ini menjadi satu penghormatan untuk meraikan dua dekad perjalanan muziknya di sini.
“Ini kali pertama dan ternyata 20 tahun kerjaya saya juga bersama Kotak. Saya melancarkan album pertama pada 2005 dan pada tahun ini nanti, genap 20 tahun, dua dekad.
“Saya meraikannya bukan di negara sendiri, tetapi di negara kalian (Malaysia) dan itu sesuatu yang hebat. Mudah-mudahan penonton pulang dengan hati yang gembira dan mereka dapat pengalaman manis,” katanya.
Kini dalam rangka persiap pelbagai aspek, dia yakin bakal pamer aksi terbaik nanti. Mana tidak, dia sendiri merasa tawaran rai ulang tahun dua dekad itu di luar negara amat besar maknanya.
“Setiap kali saya membuat persembahan, saya sentiasa cuba memberikan yang terbaik. Saya tidak tahu jika lagu saya cukup dikenali oleh kalian, tetapi saya boleh jamin, saya akan memberikan yang terbaik.
“Sudah tentu saya gembira, senang dan rasa sangat terhormat. Kerana sudah 20 tahun berkarya dan saya tidak meraikannya di Jakarta atau Indonesia, sebaliknya saya meraikannya di negara jiran,” katanya.
Konsert anjuran Show Connects itu nanti turut menampilkan Kotak yang juga meraikan ulang tahun ke-20 dalam industri seni. Tiket konsert boleh dibeli di laman web Ticket2U.
© New Straits Times Press (M) Bhd




