Nadal bakal sertai lembaga pengarah Real

Nadal bakal sertai lembaga pengarah Real

Madrid: Real Madrid merancang melantik bekas bintang tenis dunia, Rafael Nadal sebagai ahli lembaga pengarah kelab itu, menurut kenyataan rasmi.

Nadal, 40, yang memenangi 22 gelaran Grand Slam sepanjang kariernya, sudah bergelar ahli kehormat kelab berkenaan sejak 2011 dan mempunyai hubungan rapat dengan presiden Real, Florentino Perez.

Dalam kenyataan, Real menyifatkan pelantikan Nadal sebagai satu kebanggaan besar buat kelab dan penyokongnya.

“Bagi Real Madrid dan seluruh penyokongnya, ia satu kebanggaan besar apabila tokoh yang memiliki kehebatan sukan dan peribadi sepertinya, selain menjadi ikon sukan Sepanyol dan dunia, menyertai lembaga pengarah kelab serta menyumbang kepada masa kini dan masa depan kami,” menurut kenyataan itu.

Pelantikan Nadal dijangka mendapat pengesahan ahli kelab atau socios pada mesyuarat agung yang dijadual berlangsung 21 November ini.

Sepanjang karier gemilangnya, Nadal mencipta rekod dengan memenangi 14 gelaran perseorangan Terbuka Perancis, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai antara pemain tenis terhebat sepanjang zaman.

Pada 2023, Nadal pernah menyatakan hasrat untuk menjadi presiden Real suatu hari nanti, namun mengakui tidak pasti sama ada dirinya cukup layak untuk memegang jawatan berkenaan.

Bagaimanapun, menjelang pemilihan presiden kelab tahun ini, Nadal menjarakkan dirinya daripada laporan yang mengaitkannya sebagai calon.

Perez akhirnya mengekalkan jawatan presiden pada Jun lalu selepas menewaskan pencabarnya, Enrique Riquelme.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top