Nadhir Nasar cari wanita Kelantan

Nadhir Nasar cari wanita Kelantan

najiy.jefri@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kesibukan jadual kerja yang padat menjadi cabaran utama buat pelakon popular, Nadhir Nasar dalam mencari pasangan hidup.

Bagaimanapun Nadhir percaya wanita yang tepat untuk menjadi peneman hidupnya sudah ada, tetapi dia belum bertemu dengannya lagi.

“Bulan lepas saya hanya ada sehari untuk cuti rehat, begitu juga dengan bulan ini saya ada masa berehat dua hingga tiga hari saja.

“Saya akui untuk menjadi kepunyaan seseorang pada masa sekarang agak susah, tapi saya percaya individu itu ada, cuma belum jumpa lagi,” katanya kepada Harian Metro.

Ditanya mengenai wanita pilihan dari Kelantan yang diimpikan sebagai suri hidupnya, Nadhir berkata, dia masih mencari wanita itu.

“Saya masih mencari wanita dari negeri Kelantan memandangkan saya bakal menjengah usia 30 tahun, tahun depan.

“Entahlah saya rasa wanita Kelantan ini ada satu aura yang sangat dekat dengan personaliti saya. Antara perkara yang buat saya minat wanita dari Kelantan ini kerana mereka pandai memasak.

“Saya tidak mengenali mana-mana wanita Kelantan sekarang ini. Saya ada ramai kenalan yang berasal dari negeri itu, cuma seseorang yang membesar di Perak, saya nampak perbezaan di antara dua negeri ini dan ia agak menyeronokkan.

“Saya mencari wanita dari Kelantan ini disebabkan saya ini penggemar budu,” katanya.

Sementara itu, Nadhir turut menjawab mengenai spekulasi sudah mempunyai teman istimewa seperti yang hangat diperkatakan netizen di media sosial.

“Saya akui ada ramai yang membuat spekulasi saya sedang mempunyai hubungan dengan seseorang, jujur saya okey saja. Cuma privasi tetap menjadi keutamaan saya.

“Kadang-kadang benda itu tak betul hingga menjejaskan kedua-dua pihak. Cuma untuk saya, spekulasi itu tak betul,” katanya.

Nadhir ditemui pada majlis bertemu peminat sempena kempen ‘Bulan Bintang Sedekad Menyinar Takluk The Starhill’ di Bukit Bintang, di sini, semalam.

Selain Nadhir, duta jenama terbabit iaitu Shukri Yahaya, Mierul Aiman dan Syafiq Kyle turut turun padang bertemu peminat dan memeriahkan acara itu.

Dalam masa sama, Bulan Bintang turut menampilkan ‘pop-up store’ serta pameran khas sempena ulang tahun ke-10 jenama itu bermulq dari 12 hingga 23 Mac ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top