Nadhir Nasar tak malu digelar anak emak

Nadhir Nasar tak malu digelar anak emak

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Pelakon, Nadhir Nasar, 30, menyifatkan setiap orang mempunyai cara pemikiran tersendiri terhadap apa sahaja perkara sama ada disukai atau sebaliknya mengikut kehendak masing-masing.

Nadhir berkata, bukan mudah untuk memuaskan hati semua orang walaupun sudah memberi yang terbaik dalam karya dibintangi kerana permintaan ramai itu ada bermacam-macam.

“Cuma, saya tidak ada Threads. Jadi, untuk komen-komen daripada netizen di media sosial itu terserah mereka nak tulis apa mengenai lakonan saya. Memang saya okay sahaja terima komen-komen diluahkan.

“Bagi saya, kenapa kita nak semua orang suka kita? Mereka ada hak untuk suka atau tidak, asalkan kita sendiri sudah cuba buat sebaik mungkin dalam karakter yang dibawa itu,” katanya kepada Harian Metro ditemui pada sidang media drama Bayangan Dendam.

Melakonkan watak Farhan iaitu seorang pemuda yang dilabel ‘Mama boys’ atau anak emak, Nadhir berkata, dia sendiri memang ‘anak mak’ kerana sangat rapat dengan ibu bapa dan keluarganya.

“Ya, saya memang ‘Mama boys’ yang hubungan sangat rapat dengan ibu bapa dan keluarga. Bagi saya, okay sahaja persepsi ‘anak mak’ itu kerana bila ada pasangan nanti, wanita berkenaan kena betul-betul faham dan boleh terima dengan baik.

“Kasih sayang yang menyerlah antara anak lelaki dan ibunya memang tidak boleh disangkal. Begitulah juga untuk watak saya sebagai Farhan dalam Bayangan Dendam yang memang rapat dengan ibunya, Hanim, lakonan kak Emelda Rosemila.

“Alhamdulillah, untuk ‘chemistry’ memang sangat mudah saya nak ‘build up’ bersama pelakon-pelakon lain seperti Erysha Emyra, Sophia Albarakbah dan dengan semua orang di set penggambaran. Seronok juga saya bekerja dengan pengarah, abang Helmi Yusof.

“Walaupun, ini kali pertama saya bekerja dengan abang Helmi, tetapi dia sangat senang berbincang dan tahu apa yang diinginkan terhadap watak-watak dalam Bayangan Dendam itu. Jadi, memang ‘best’,” katanya.

Drama Bayangan Dendam yang disiarkan Viu Original sebanyak 12 episod mengangkat kisah cinta tiga segi antara Melissa, Farhan dan Ariana yang berakhir dengan tragedi pembunuhan misteri akibat pengkhianatan.

Terbitan Global Film Station Sdn Bhd, barisan pelakon lain ialah Yusuf Bahrin, Mia Nasir, Faha Azhar dan Azlan Mokhtar atau Lan Siro.

Manakala, lagu Dendam Dalam Luka nyanyian Ernie Zakri ciptaan bersama Hael Husaini & Iqie Hugh menjadi lagu tema (OST).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top