NADMA sampaikan bantuan RM2.97 juta kepada waris mangsa COVID-19

NADMA sampaikan bantuan RM2.97 juta kepada waris mangsa COVID-19

bhnews@bh.com.my

PASIR MAS: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menyampaikan Bantuan Khas Pengurusan Kematian COVID-19 kepada 558 waris mangsa yang berjumlah RM2.79 juta di seluruh negara.

Timbalan Ketua Pengarah (Pasca Bencana) NADMA, Mohamad Azhan Md Amir, berkata bagaimanapun, jumlah sebenar kematian akibat wabak COVID-19 masih ramai dan pihaknya meminta agar waris terbabit segera membuat permohonan untuk menerima sumbangan sekali beri bernilai RM5,000.

Katanya, setakat ini, pihaknya hanya menerima 818 permohonan daripada waris yang mana baki yang belum dibayar masih dalam proses semakan dengan pihak Kementerian Kesihatan (KKM).

“Selain Bantuan Khas Pengurusan Kematian, NADMA juga menyediakan Bantuan Khas RM100 sehari dan maksimum 14 hari kepada rakyat tempatan yang layak, berikutan pendapatan terjejas kerana arahan kuarantin COVID-19.

“Terdapat juga Bantuan Bakul Makanan yang diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk diagihkan kepada rakyat yang terjejas susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara.

“Berdasarkan rekod yang diterima, NADMA sudah menyampaikan Bantuan Khas RM100 kepada 13,568 mangsa COVID-19 bernilai RM18.3 juta, manakala bagi Bantuan Bakul Makanan pula, berjumlah RM37.1 juta melalui JKM seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membuat lawatan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Pasir Mas, di sini, hari ini.

Mohamad Azhan berkata, kesemua bantuan diberikan hasil Tabung COVID-18 NADMA, yang mana turut disumbangkan oleh individu serta syarikat ternama bagi membantu masyarakat yang terkesan akibat wabak itu.

Sehubungan itu, katanya, NADMA meminta orang ramai, terutama waris kepada mangsa COVID-19 yang meninggal dunia agar segera membuat permohonan.

“Kita faham mungkin mereka memerlukan masa sebelum bersedia menguruskan segala dokumen untuk permohonan susulan baru kehilangan orang tersayang.

“Bagaimanapun, segala prosedur untuk memohon bantuan daripada NADMA akibat terkesan dengan COVID-19 boleh dirujuk melalui portal rasmi NADMA,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top