Sepang: Pelakon Nadzmi Adhwa tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, dengan membawa jambangan bunga bagi menyambut kepulangan isteri, Ardell Ariana daripada misi Global Sumud Flotilla (GSF).
Nadzmi yang hadir ditemani dua puterinya tiba dengan menaiki bas persiaran khas bersama ahli keluarga 22 sukarelawan yang lain, kira-kira jam 9.40 malam tadi.
Sebanyak empat bas disediakan bagi membawa ahli keluarga peserta misi.
“Doakan isteri saya,” katanya ringkas ketika ditemui di sini, malam tadi.
Turut kelihatan, suami kepada penyanyi Zizi Kirana, Yusuf Bahrin.
Sementara itu, lebih 2,000 penyokong membanjiri KLIA sejak 7.30 malam bagi menyambut wira dan wirawati negara.
Laungan takbir dan Free Palestine berkumandang sejak jam 8 malam sementara menantikan sukarelawan di Balai Ketibaan KLIA.
Sabtu lalu, semua 23 sukarelawan GSF dibebaskan selepas ditahan sejak 2 Oktober lalu dalam misi menghantar bantuan ke Gaza.
© New Straits Times Press (M) Bhd




