norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Pelakon juga aktivis kemanusiaan, Nadzmi Adhwa, 33, menyifatkan rakyat Aceh, Indonesia adalah warga yang kuat dari aspek iman dan sabar dalam berhadapan ujian besar oleh Allah SWT.
Menerusi hantaran dimuatnaik di Instagram (IG) ketika melakukan misi bantuan ke sana baru-baru ini, Nadzmi berkongsi beberapa video yang menyayat hati merangkumi situasi sekitar Aceh dan warganya yang hilang semua harta akibat bencana itu.
Pada salah satu video dimuat naik berkenaan, bapa dua cahaya mata ini meluahkan rasa sebaknya terhadap golongan wanita dan ibu yang disifatkan sangat cekal, tabah serta sabar mengharungi dugaan hebat menimpa mereka.
“Andai ibuku seperti ini tidak boleh aku hidup! Tahan tangis saja dekat sini. Hebatnya kesabaran mereka ini. Ya Allah angkatlah darjat dan sembuhkan mereka ini.
“Moga Allah berkati dan reda atas usaha kita ini,” tulisnya pada kapsyen hantaran video dengan disertakan emoji menagis, sedih dan hati berwarna merah sebagai tanda kasih sayang sesama manusia.
Meninjau di ruangan komen, rata-rata netizen turut terharu dan sedih menyaksikan paparan video berkenaan dalam usaha Nadzmi menyerahkan sumbangan kepada warga Aceh yang terkesan.
“Orang-orang Malaysia semampu yang boleh walaupun ada yang kata bantuan kita tidak seberapa.. kerana kita peduli dan sayang,” komen netizen.
“Kalaulah boleh peluk emak-emak, kakak-kakak dekat sana. Hasbunallah Wanikmal Wakeel,” tulis seorang warganet.
“Terima kasih Nadzmi mewakili kami.. kasihan sedihnya Ya Allah, kami mampu tumpang nangis,” kata pengguna media sosial.
“Bila ayat ‘tolong kami ini rakyat Aceh’. Tumpah terus air mata..semoga dipermudahkan segala urusan,” ujar seorang wargamaya.
Terdahulu, tiga daerah iaitu Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat dilanda banjir badang berserta tanah runtuh dengan himpunan kayu balak pada 25 November lalu yang menyebabkan kemusnahan teruk.
Menerusi bantuan kemanusiaan dilakukan, Nadzmi bersama isterinya, Ardell Aryana serta pasukan mereka daripada Aryana Care berangkat ke Aceh pada 14 hingga 20 Disember lalu.
Sepanjang satu minggu di sana, Nadzmi bersama pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) diwakili menghulurkan bantuan berupa makanan, barangan keperluan dapur, lampin pakai buang untuk kanak-kanak dan warga emas serta 12 trak air bersih.
Malah, lebih hebat lagi Nadzmi sendiri turut berpeluang menyerahkan segala bantuan itu kepada semua warga Aceh terjejas dengan berjalan di dalam lumpur tebal ke beberapa buah kawasan kampung terjejas yang dikunjungi.
Hantaran beberapa video misi kemanusiaan dimuat naik Nadzmi ke akaun IG itu membuatkan dirinya kini semakin dikenali oleh kebanyakan warga Aceh yang amat berterima kasih dengan bantuan NGO dari Malaysia.
© New Straits Times Press (M) Bhd



