firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pengendali skuad bawah 23 (B-23) negara, Nafuzi Zain perlu mencari formula baharu khususnya di jentera serangan apabila kemungkinan beberapa khidmat penyerang utama terpaksa dilupakan pada kempen Sukan Sea Thailand, Sabtu ini.
Penyerang Sabah FC, Fergus Tierney antara penyerang harapan skuad B-23 negara yang kini ‘tersepit’ apabila kelabnya turut mempunyai misi besar di pentas final Piala FA menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada 14 Disember ini.
Malah, skud The Rhinos juga pastinya memerlukan sentuhan Tierney dalam aksi Liga Super berdepan PDRM FC Sabtu ini bagi mengukuhkan kedudukan pasukan di carta liga.
Selain itu, beberapa pemain Selangor FC khususnya Aliff Izwan yang beraksi di bahagian hadapan turut ditagih kudratnya bersama skuad Red Giants dalam aksi Kejuaraan Kelab Asean (ACC) bertemu kelab Filipina, Cebu FC malam esok dan aksi Liga Super menentang Penang FC, Ahad ini.
Untuk rekod, temasya Sukan Sea akan berlangsung di luar kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan kelab memiliki hak untuk tidak melepaskan pemain.
Ujar Nafuzi, beliau berharap akan adanya ‘sinar’ bagi membolehkan pasukan negara membariskan skuad terbaik sebelum turun menentang Laos dalam aksi pertama Kumpulan B Sukan Sea di Stadium Rajamangala, Sabtu ini.
“Dari segi persiapan, kami berlatih pun dalam situasi kekurangan pemain. Tak cukup pemain yang betul-betul.
“Mungkin ada sertai latihan lepas itu balik untuk perlawanan dengan negeri, dengan kelab, lepas itu akan sertai kami semula,” katanya yang pening memikirkan tentang persiapan pasukan.
Katanya lagi, rundingan bersama kelab sedang giat dilakukan khususnya untuk mendapatkan pemain Selangor FC.
“Setakat ini kita tidak mendapat pelepasan daripada pasukan Sabah, Penang serta Terengganu (untuk aksi pertama) selain turut menunggu situasi Selangor (dengan) melihat keadaan semasa.”
Sebelum ini, dua pemain iaitu Aliff Izwan serta Muhammad Abu Khalil masih bersama Selangor dan pagi ini (semalam) dua lagi pemain sertai mereka untuk Kejuaraan Kelab Asean ke Cebu (ke Filipina).
“Kita akan lihat aksi Kejuaraan Kelab Asean itu sebelum aksi pertama (menentang Laos), berapa ramai pemain yang Selangor lepaskan untuk bersama terus di Bangkok dan harapnya semuanya dapat sertai kita,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




