Nahas Di Simpang Renggam: Pemandu 19 Tahun Bawa Laju Dan Melulu Ditahan, Didapati Negatif Dadah

Nahas Di Simpang Renggam: Pemandu 19 Tahun Bawa Laju Dan Melulu Ditahan, Didapati Negatif Dadah

Trending

Suspek dipercayai memandu secara laju dan melulu bersama seorang lagi pemandu menyebabkan kemalangan maut.


Polis Daerah Kluang mengesahkan seorang lelaki berusia 19 tahun kini ditahan bagi membantu siasatan kes kemalangan lima kenderaan di Jalan Renggam-Simpang Renggam, Kluang Johor.

Suspek lelaki tempatan itu dipercayai memandu sebuah Mercedes-Benz A250 secara laju dan melulu bersama sebuah BMW 530e sebelum kemalangan berlaku.

Pemandu 19 Tahun ditahan polis

Simpang Renggam
Kredit foto Berita Harian

Menurut Ketua Polis Daerah Kluang, kenderaan suspek turut dirampas untuk siasatan lanjut. Hasil ujian saringan air kencing pula mendapati lelaki berkenaan negatif dadah.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga boleh membahayakan pengguna jalan raya lain.

Jika sabit kesalahan, individu boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000 serta tidak lebih RM15,000.

Suspek Kluang

Dalam kenyataan polis, siasatan awal mendapati sebuah BMW 530e yang dipandu lelaki berusia 22 tahun dalam perjalanan dari arah Bandar Kluang menghala ke Simpang Renggam.

Kereta itu dipercayai dipandu laju dan melulu bersama sebuah Mercedes-Benz sebelum hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan.

BMW berkenaan kemudian merempuh empat kenderaan lain iaitu Perodua Alza, Toyota Vios, Proton Wira dan sebuah lagi Mercedes-Benz sebelum jatuh ke gaung di seberang jalan.

Kejadian itu menyebabkan lima individu maut, termasuk pemandu BMW yang meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

Kemalangan Maut Simpang Renggam
Kredit foto Berita Harian ihsan JBPM

Empat lagi mangsa maut terdiri daripada pemandu Toyota Vios berusia 36 tahun, isterinya berusia 33 tahun serta dua ahli keluarga mereka iaitu wanita berusia 73 tahun dan kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun.

Memetik laporan Astro Awani, Mohd Aiman Mohd Rashid iaitu pemandu Toyota Vios baru sahaja kehilangan ayah dua minggu lalu akibat kanser usus.

Ibu saudara dikenali sebagai Nor Haida Dolah berkata, Aiman masih bersedih dengan pemergian bapanya itu, namun siapa sangka dia pula menyusul.

Bukan sahaja Mohd Aiman malah isteri, ibu mentua dan anak saudaranya turut meninggal dunia dalam kemalangan tersebut.

Tambahnya, Aiman dan isteri yang berkahwin pada 2017 belum dikurniakan cahaya mata. Mereka pulang ke Ulu Sedili pada Khamis lepas membawa bersama anak saudara, Nur Airish Syifa.

Mereka dijangka pulang ke Dungun pada Sabtu kerana kanak-kanak itu mula bersekolah pada Ahad. 

Baca penuh: Polis Daerah Kluang

Pssttt! Semoga mangsa yang cedera diberi kesembuhan dan dipermudahkan urusan rawatan. Buat semua pengguna jalan raya, cukuplah tragedi seperti ini menjadi peringatan bahawa sikap melulu di jalan raya boleh meragut nyawa orang lain dalam sekelip mata.

Kredit: Sinar Harian | Astro Awani
Reaksi netizen di Facebook, X, dan Instagram.

** Selain dari Whatsapp Channel, dapatkan kemaskini Oh! Media setiap hari terus ke emel melalui langganan percuma di bawah.

author avatar

Arini, Editor-In-Chief di Oh! Media, merupakan penulis sepenuh masa yang pakar dalam menghasilkan artikel berkaitan isu viral dan trending di media sosial, memastikan pembaca sentiasa mendapat maklumat yang terkini dan menarik.

Scroll to Top