am@hmetro.com.my
Dungun : “Dia bawa lima helai baju saya untuk dipakai semasa di Johor. Saya tak sangka itu petanda dia akan pergi meninggalkan saya,” kata Nurul Ain Mohd Rashid, 38, selepas mengetahui anaknya maut dalam kemalangan di Jalan Renggam-Simpang Renggam depan Penjara Simpang Renggam, semalam.
Anaknya, Nur Airish Syifa Sidek, 10, serta bapa saudaranya, Mohd Aiman Mohd Rashid, 36, dan isterinya, Nor Azlina Abd Latif, 33, dan ibu Nor Azlina, Semek Mat Soh, 73, meninggal dunia dalam kemalangan semalam.
Nurul Ain berkata, sebelum kejadian, anaknya itu tergesa-gesa meminta izin kepadanya untuk mengikuti Mohd Aiman balik ke Kota Tinggi Johor pada petang khamis.
“Abangnya, Amirul Syafiq, 15, hendak mengikut sama namun saya melarangnya kerana saya mahu Amirul Syafiq meneman saya di rumah.
“Dia ambil lima helai baju saya kerana saiz pakaiannya sama dengan saya. Saya sangat sedih ketika kemalangan dia memakai baju saya,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS).
Menurutnya, kali terakhir Nur Airish Syifa menghantar WhatsApp kepada ibunya hanya menyebut Umi.
“Saya balas ya, tapi dia tak jawab. Bila saya tanya dia (Nur Airish) ada dekat mana, dia jawab ada kedai nenek saudaranya di Umbai Melaka.
” Bila saya tanya sedang makan ke, namun dia tak balas-balas WhatsApp saya itu sebelum saya dimaklumkan anak kemalangan kira-kira jam 1.30 tengah hari,” katanya.
Katanya, dia yang dalam keadaan sedih kemudiannya bersama suaminya, Sidek Abd Hamid, 42, segera bertolak ke Hospital Ence’ Besar Hajah Kalsom, Keluang dan tiba di sana kira-kira jam 11 malam.
“Saya sangat sedih bila lihat kesemua mangsa maut dalam kemalangan itu. Selain anak saya, adik dan adik ipar sangat baik termasuk Semek yang saya anggap seperti ibu saya sendiri,” katanya.
Nurul Ain berkata, Nur Airish Syifa sangat gembira selepas mengetahui ibunya itu sedang hamil lima bulan dan dijangka bersalin pada November ini.
“Bila tahu saya mengandung, Nur Airish Syifa sangat gembira dan meminta kepada saya tidak terlebih dahulu membeli pakaian adiknya itu kerana dia sendiri hendak memilih pakaian terbabit.
“Beberapa hari lepas saya dan suami berkunjung ke sebuah pasaraya dan saya ketika itu cuba memilih pakaian bayi yang bakal dilahirkan ini namun tidak membelinya kerana teringat pesan Nur Airish yang dia nak pilih sendiri baju adiknya itu,” katanya.
Katanya, sebelum anaknya itu bertolak ke Johor, dia sedikit pun tidak merasai bimbang kerana tahu Mohd Aiman yang merupakan adiknya memandu kenderaan sangat cermat dan perlahan.
“Sebelum bertolak dia sempat bersalam dan mencium pipi saya beberapa kali sambil tersenyum.
“‘Selamat tinggal umi’. Itulah perbuatan dan ungkapan terakhirnya yang akan menjadi kenangan yang sukar saya lupakan,” katanya.
- Imam sebak ketika solat jenazah empat sekeluarga kemalangan maut
- Remaja disyaki pandu berbahaya hingga kemalangan ragut nyawa 4 sekeluarga direman 2 hari
- Jenazah 4 sekeluarga maut kemalangan di Kluang dibawa pulang ke Terengganu
- Dua beradik pandu kereta mewah secara laju, melulu punca nahas ragut nyawa 4 – Polis
- Kepulangan yang menyedihkan, empat sekeluarga maut nahas pulang dari majlis
- Tular video dua kereta dipandu laju, berbahaya sebelum nahas ragut 4 nyawa
- 4 maut, 2 cedera nahas 5 kenderaan
© New Straits Times Press (M) Bhd




