Nahas Elmina: Isteri pemandu Grab tak mahu kongsi keadaan mayat – “Biarlah ia jadi rahsia”

Nahas Elmina: Isteri pemandu Grab tak mahu kongsi keadaan mayat – “Biarlah ia jadi rahsia”

Menurut isteri kepada pemandu Grab, Suriana Muda, pihak hospital telahpun menunjuk gambar keadaan jenazah suaminya yang terlibat dalam tragedi pesawat ringan terhempas baru-baru ini.

Memetik laporan Berita Harian, wanita yang berusia 43 tahun ini bagaimana pun enggan berkongi pada pihak luar keadaan jenazah Sharipuddin Shaari dan biarlah ia menjadi kenangan buat mereka anak beranak.

“Saya sudah melihat gambar keadaan jenazah arwah suami melalui gambar yang ditunjukkan pihak hospital namun setakat ini tidak mahu kongsikan dengan pihak luar dan biarlah ia menjadi rahsia,” katanya.

Suaminya, Sharipuddin, 53 tahun maut apabila kereta yang dinaikinya dilanggar pesawat Beechcraft Premier 1 yang terhempas di Bandar Elmina Shah Alam, kelmarin.

Suriana yang juga seorang suri rumah turut berkata rahsia ini akan disimpan dan dijadikan kenangan buat sepanjang hidupnya membesarkan anak-anak.

Mereka sekeluarga masih terkejut dengan tragedi menyayat hati itu dan masih sabar menunggu jenazah keluar untuk dikebumikan.

Proses pengebumian jenazah akan dilakukan berdekatan dengan kediaman mereka di Tanah Perkuburan Islam, Sultan Hishamuddin BBST.

“Ahli keluarga sepakat dan membuat keputusan tidak dikebumikan dalam satu liang seperti yang disarankan pihak tertentu,” tambahnya.

Keputusan itu diambil bagi memudahkan urusan mereka sekeluarga untuk menziarahi kubur arwah yang berdekatan dengan kediaman.

Arwah Sharipuddin Shaari yang berasal dari Arau, Perlis ini meninggalkan dua orang anak yang masih bersekolah iaitu Muhammad Sharul Izuan, 16 tahun dan Nur Izzara Arissya, 9 tahun.

Buat masa ini, Suriana hanya memikirkan masa depan kedua anaknya itu yang masih bersekolah dan beliau juga tidak bekerja dan tinggal di rumah sewa.

Sementara itu, melalui ciapan di Facebook, Menteri Pengangkutan (MOT), Anthony Loke turut hadir menghulurkan sumbangan kewangan bagi meringankan beban mereka sekeluarga dan bantu mempercepatkan proses insurans arwah suaminya.

 

Sumber: Facebook Anthony Loke, Berita Harian Samadi Ahmad

 

Scroll to Top