am@hmetro.com.my
Shah Alam: Pengusaha syarikat lori yang terbabit dalam nahas kenderaan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan, Mei lalu akan dihadapkan ke mahkamah selepas siasatan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata, pada masa sama keluarga mangsa juga boleh mengambil tindakan sivil terhadap syarikat berkenaan untuk mendapatkan ganti rugi dan pampasan selayaknya.
“Yang pertamanya, lesen pengendali (syarikat lori) telah pun dibatalkan dan keduanya, kita akan heretkan pemilik syarikat ke mahkamah (menerusi) JPJ,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelaksanaan Penggunaan Speed Limitation Device (SLD) bagi kenderaan perdagangan di Scania (Malaysia) Sdn Bhd di sini, hari ini.
Beliau mengulas perkembangan terkini siasatan terhadap nahas pada 8.54 pagi, 13 Mei lalu yang mengorbankan sembilan anggota FRU dan sembilan lagi cedera.
Dalam perkembangan lain, Loke berkata, keputusan mengembalikan kuasa mengawal selia pengangkutan pelancongan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) tertakluk kepada kelulusan Jemaah Menteri.
Katanya, beliau tiada masalah berhubung kawal selia kuasa berkenaan, khususnya membabitkan bas persiaran dan perkara itu sudah dibangkitkan oleh MOTAC sejak dua tahun lalu.
“MOTAC sebelum ini membuat kertas Memorandum Jemaah Menteri (MJM) dan diedarkan kepada Kementerian Pengangkutan sebelum insiden (kemalangan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berlaku.
“Saya hendak tegaskan perkara ini bukan sebabnya oleh insiden ini. Saya sudah katakan kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing, saya tiada masalah kalau kamu boleh jamin bas persiaran selamat. Namun itu tertakluk kepada kuasa Jemaah Menteri,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, MOTAC menerusi kenyataan menggesa supaya kuasa pengawalseliaan pengangkutan pelancongan dikembalikan kepada kementerian itu susulan nahas bas di Gerik, Perak Isnin lalu yang meragut 15 nyawa pelajar UPSI.
© New Straits Times Press (M) Bhd




