Nahas helikopter pemilik Leicester disebabkan kemalangan

Nahas helikopter pemilik Leicester disebabkan kemalangan

London: Siasatan koroner memutuskan bahawa nahas helikopter yang mengorbankan lima nyawa, termasuk pemilik kelab bola sepak Leicester City, Vichai Srivaddhanaprabha, pada Oktober 2018, adalah satu kemalangan.

Taikun dari Thailand itu meninggal dunia bersama empat yang lain apabila helikopter Leonardo AW169 yang dinaikinya terhempas di tempat letak kereta Stadium King Power selepas perlawanan Liga Perdana Inggeris pada 27 Oktober 2018.

Helikopter itu dilaporkan berjaya melepasi bumbung stadium sebelum mula berpusing tanpa kawalan, menjunam ke tanah, dan terbakar.

Selain Srivaddhanaprabha, mangsa lain ialah juruterbang Eric Swaffer, Izabela Lechowicz, Nusara Suknamai, dan Kaveporn Punparev.

Siasatan yang berlangsung selama dua setengah minggu mendapati Swaffer, seorang juruterbang yang ‘sangat berpengalaman dan kompeten’, berusaha sedaya upaya untuk mengawal helikopter selepas kegagalan rotor ekor sejurus berlepas.

Keluarga Srivaddhanaprabha kini meneruskan tindakan undang-undang terhadap syarikat pertahanan Itali, Leonardo, selaku pengeluar helikopter berkenaan.

Mereka menuntut pampasan bernilai £2.15 bilion (RM5.1 bilion) untuk kerugian pendapatan dan ganti rugi lain, menjadikannya tuntutan kemalangan maut terbesar dalam sejarah undang-undang England.

Leonardo menyatakan rasa simpati mereka terhadap mangsa dan menganggap kejadian itu sebagai ‘tragedi yang tidak dapat dinafikan’.

Namun, syarikat itu bertegas untuk mempertahankan diri terhadap tuntutan mahkamah di Mahkamah Tinggi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top