New Delhi: Sebuah jet pejuang Tentera Udara India, hari ini, dilaporkan terhempas di Rajasthan dan insiden berkenaan adalah kejadian pertama sejak pesawat buatan tempatan itu dikeluarkan hampir lapan tahun lalu.
Tentera Udara India dalam satu kenyataan berkata, juruterbang jet terbabit dilaporkan berjaya menyelamatkan diri dan terselamat.
Kerajaan India pimpinan Perdana Menteri, Narendra Modi mendesak melakukan pembuatan jet tempatan ketika India berusaha untuk mengurangkan reputasinya sebagai salah satu pengimport peralatan pertahanan terbesar di dunia.
Jet tempur ringan itu yang diberi nama Tejas yang membawa maksud nyalaan atau kecemerlangan dalam bahasa Sanskrit, dimasukkan ke dalam pasukan tentera India pada 2016.
Ia selepas menunggu lama dalam usaha India untuk memodenkan aset kententeraannya yang sebahagian besarnya dari era Kesatuan Soviet.
Pegawai tentera udara India memberitahu Reuters bahawa insiden berkenaan memecahkan rekod keselamatan jet berkenaan sejak penerbangan ujian pertamanya lebih dua dekad lalu.
Perdana Menteri India menetapkan matlamat besar pada tahun lalu untuk meningkatkan lebih tiga kali ganda nilai eksport pertahanan tahunan kepada AS$5 bilion (RM23.38 bilion) menjelang 2025, daripada tahun 2023 dan kerajaannya melakukan usaha diplomatik untuk mengeksport jet Tejas,
Kerajaan India pada 2021 memberikan AS$6 bilion (RM28.06 bilion) kepada Hindustan Aeronautics Limited milik kerajaan untuk pengeluaran 83 jet Tejas.
Jet Tejas dibelenggu oleh isu reka bentuk dan cabaran lain dan pernah ditolak oleh Tentera Laut India kerana terlalu berat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




