Nahas trak FRU: 7 jenazah disolatkan di surau IPD Hilir Perak

Nahas trak FRU: 7 jenazah disolatkan di surau IPD Hilir Perak

yusri.muzamir@bh.com.my

Teluk Intan: Kumpulan kedua jenazah anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang maut dalam nahas di Kilometer 15 Simpang Tangki Air di Langkap di sini, tiba di surau Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak, sebentar tadi.

Jenazah Sarjan Mohd Roslan Abd Rahim; Koperal Amiruddin Zabri; Koperal Akmal Muhamad dan Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif dibawa ke surau berkenaan untuk disolatkan, pada jam 11.28 malam tadi.

Mereka akan disolatkan bersama jenazah Koperal Mohd Pozli Jaudin; Koperal Mohamad Hilmi Mohd Azlan dan Konstabel Akmal Wafi Annuar yang tiba di surau sama, kira-kira jam 10.25 malam tadi.

Solat sunat jenazah yang disertai lebih 500 jemaah itu diimamkan oleh Ahmad Kamil Ibrahim dari Bahagian Agama dan Kaunseling (BAKA) Jabatan Integriti dan Pemantauan Standard (JIPS) Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Perak.

Turut diadakan bacaan tahlil ringkas yang dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Islam BAKA JIPS IPK Perak, Ahmad Fathullah Rosli.

Seusai solat itu, kumpulan jenazah berkenaan akan dibawa ke Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Unit 5 di Ipoh bagi menjalani istiadat penghormatan terakhir.

Dua lagi anggota FRU bukan Islam yang terkorban dalam nahas itu, masing-masing mendiang Sarjan S Perumal dan mendiang Koperal Nurit Pandak juga dijadualkan menjalani istiadat sama di PSP Unit 5 di Ipoh.

Ketibaan jenazah berkenaan diiringi Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin.

Terdahulu, sembilan anggota FRU Unit 5 berpangkalan di Sungai Senam, Ipoh dilaporkan terbunuh dalam nahas membabitkan lori muatan batu kerikil di Jalan Chikus-Sungai Lampam, di sini.

Kenderaan membawa 18 anggota FRU itu dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas penugasan perayaan Chitrapournami di Hilir Perak.

Berita berkaitan

* 8 anggota FRU maut kemalangan di Teluk Intan

* Kemalangan FRU: Angka kematian meningkat sembilan orang – Polis

* Kemalangan FRU: Lori muatan batu dipercayai alami kegagalan stereng – Polis

* PDRM akan pastikan keluarga anggota FRU terbabit kemalangan di Teluk Intan terjaga

* Tragedi kedua babit anggota FRU selepas 35 tahun

* Identiti nama 9 anggota FRU yang terkorban nahas sudah dikenal pasti

* Suasana pilu di Jabatan Forensik Hospital Teluk Intan

* Nahas FRU: PM Anwar mahu siasatan menyeluruh, bantu mangsa dan keluarga

* Saksi dakwa lori muatan batu mahu elak kenderaan sebelum bertembung trak FRU

* ‘Saya sangka abang hanya cedera, rupanya dia sudah tiada’

* Arwah sangat gembira dikurniakan anak perempuan selepas 10 tahun menunggu – Isteri Koperal Amiruddin

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top