Amman: Ratusan jemaah haji Jordan pada Rabu menaiki bas berhawa dingin menuju ke Makkah, kata pegawai.
Ia menandakan permulaan perjalanan darat sejauh 1,900 kilometer ke satu daripada perkara terpenting dalam kalendar agama Islam dan dalam Rukun Islam Kelima untuk mengerjakan haji (bagi yang berkemampuan).
Data rasmi menunjukkan bahawa daripada kuota 8,000 jemaah haji Jordan, dua pertiga akan melakukan perjalanan dengan bas dalam tempoh dua hari akan datang.
Sebahagian besar yang lain akan melakukan perjalanan dengan kapal terbang minggu depan.
Seperti biasa, sebahagian besar jemaah haji Jordan tahun ini adalah warga emas, dengan 1,700 daripadanya dilahirkan pada 1946 atau lebih awal, lapor The National News.
“Haji bukan mudah. Ia memerlukan kerjasama daripada semua orang untuk menjayakannya,” kata Menteri Hal Ehwal Agama Jordan Mohammad Al Khalaileh.
Tiket kapal terbang pergi balik dari Amman ke Jeddah semasa musim haji berharga hampir AS$1,000 (kira-kira RM4,638).
Harga itu dua kali ganda berbanding tambang bas dari Amman ke Makkah sekali gus menjadikan perjalanan darat pilihan paling popular untuk perjalanan haji dari Jordan.
Jemaah haji dari seluruh Jordan sudah berbondong-bondong ke pusat pemeriksaan di kawasan padang pasir Jiza di selatan Amman, di mana bas mereka menjalani pemeriksaan teknikal sebelum menuju ke tempat perhimpunan lain di bandar Maan.
Dari situ, bas bertolak ke lintasan sempadan Al Mudawara dengan Arab Saudi dalam 10 kumpulan, untuk mengelakkan kesesakan.
Jemaah haji pertama dijangka menyeberang ke Arab Saudi menjelang petang Rabu.
Ketua Agensi Pelancongan dan Haji di Jordan, Abu Khaled berkata, bas terakhir akan berlepas pada Jumaat.
Setiap warga Jordan yang merancang untuk menunaikan haji mesti mendaftar dengan agensi haji, yang akan memberi sesi orientasi kepada jemaah sebelum mereka berlepas ke Makkah.
Agensi berkenaan menugaskan dua kakitangan untuk mengiringi setiap 35 jemaah.
Tahun ini, 2.6 juta orang dari seluruh dunia dijangka menunaikan haji.
© New Straits Times Press (M) Bhd




