Na'imah mohon mencelah prosiding berkaitan asetnya

Na'imah mohon mencelah prosiding berkaitan asetnya

ajohari@bh.com.my

Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi akan memutuskan pada 31 Oktober ini berhubung permohonan Toh Puan Na’imah Abdul Khalid untuk mencelah pada prosiding pendakwa raya berkaitan aset luar pesisir yang terletak di Jersey, iaitu Wilayah Kedaulatan Mahkota British.

Pada 25 Jun lalu, Pendakwa Raya memfailkan permohonan sebelah pihak di Mahkamah Tinggi bagi menghalang balu Allahyarham Tun Daim Zainuddin itu, atau mana-mana pihak berkaitan dengannya daripada menguruskan aset luar pesisir berkenaan yang berjumlah AS$157.5 juta (kira-kira RM667 juta) dan GBP85 juta (kira-kira RM4.9 bilion).

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menetapkan tarikh pendengaran dan seterusnya untuk membuat keputusan terhadap permohonan, dalam prosiding pengurusan kes hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat ketika ditemui media selepas prosiding mengesahkan sudah memfailkan afidavit balasan bagi permohonan Na’imah pada 30 Julai lalu dan telah menerima afidavit jawapan daripada pemohon.

Pada prosiding hari ini, Na’imah diwakili peguam Nurul Najwa Zainuddin.

Pendakwa raya memohon untuk menghalang Na’imah atau mana-mana pihak berkaitan untuk berurusan dengan aset berkenaan pada 25 Jun lalu.

Permohonan dibuat mengikut Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001), susulan siasatan mengikut Seksyen 113 Akta Cukai Pendapatan dan Seksyen 4(1) AMLATFPUAA.

Pendakwa raya mendakwa, aset terbabit diperoleh oleh Na’imah atau individu yang mempunyai kaitan dengannya di Malaysia dan tidak diisytiharkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Ini adalah permohonan ketiga yang difailkan pendakwa raya selepas dua permohonan sama sebelum ini dibuat membabitkan aset yang terletak di United Kingdom (United Kingdom) dan Singapura.

Pada 22 Mei lalu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki mendedahkan bahawa lapan kertas siasatan telah dibuka berdasarkan maklumat baharu daripada agensi luar negara berhubung aset milik Allahyarham Tun Daim, keluarganya dan proksi.

Azam berkata, maklumat terkini menunjukkan aset terbabit tidak diisytiharkan semasa siasatan SPRM pada tahun 2023.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top