nurul.hidayah@hmetro.com.my
Putrajaya: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak gagal dalam rayuannya untuk menghidupkan semula tuntutan saman RM1.9 juta terhadap bekas Peguam Negara (AG), Tan Sri Tommy Thomas.
Keputusan sebulat suara itu dibuat oleh panel tiga hakim diketuai Datuk Ravinthran N Paramaguru selepas menolak rayuan Najib selaku perayu selain meneliti hujah peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin dan Yudistra Darma Dorai yang mewakili Najib, serta peguam Alan Andrian Gomez bagi pihak Tommy.
Dua lagi hakim yang turut bersidang adalah Datuk Wong Kian Kheong dan Datuk Nadzarin Wok Nordin.
Ravinthran berkata, Najib menyaman Tommy selaku responden atas salah laku pentadbiran, proses berniat jahat dan kecuaian berhubung dengan pelaksanaan budi bicara pendakwaannya di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, Mahkamah Tinggi mendapati bahawa responden mempunyai imuniti dan tindakannya adalah tidak boleh diadili.
Menurutnya, Mahkamah Tinggi juga mendapati bahawa tindakan sivil terbabit adalah pramatang kerana kes-kes jenayah belum dimulakan ketika saman itu difailkan.
“Berhubung dengan isu imuniti dan kebolehhakiman, kami tidak bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi kerana Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan tidak memberikan imuniti kepada Peguam Negara berhubung dengan tindakan sivil yang diambil terhadapnya secara peribadi.
“Kes-kes yang dirujuk oleh Mahkamah Tinggi adalah tidak terpakai kerana ia membabitkan cabaran terhadap budi bicara Peguam Negara dalam konteks kes jenayah,” katanya dalam prosiding di Mahkamah Rayuan, di sini, hari ini.
Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa memandangkan kes-kes jenayah belum dimulakan ketika tindakan sivil itu difailkan, manakala tuntutan bagi salah laku pentadbiran, proses berniat jahat dan kecuaian adalah jelas pramatang.
“Kami juga mendapati bahawa proses ‘tort’ berniat jahat tidak wujud dalam undang-undang kita.
“Atas alasan-alasan itu, rayuan ini ditolak dengan kos sebanyak RM12,000 tertakluk kepada perintah ‘allocatur’,” katanya.
Sebelum ini, Najib mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 25 November 2022 yang membenarkan permohonan Tommy untuk membatalkan saman Najib tanpa perbicaraan penuh.
Dalam samannya, Najib mendakwa Tommy melanggar kuasa dalam jawatan awam apabila mendakwanya berkaitan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Menerusi saman itu, Najib mendakwa dituduh melakukan rasuah dalam skandal 1MDB, International Petroleum Investment Company (IPIC), salah guna kuasa di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan pengubahan wang haram di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).
Tommy menyandang jawatan sebagai AG dari 4 Jun 2018 hingga 28 Februari 2020.
Najib memohon pengisytiharan bahawa Tommy melakukan penyelewengan jawatan awam serta menuntut ganti rugi sebanyak RM1.9 juta termasuk yuran rundingan untuk pasukan audit menyemak dokumentasi bagi penyediaan fakta untuk menghadapi pendakwaan terhadapnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




