'Nampak kepulan asap, tak sangka rumah sendiri terbakar'

'Nampak kepulan asap, tak sangka rumah sendiri terbakar'

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: “Saya sudah melihat kepulan asap ketika berada di tempat kerja di Pasir Pekan, namun tidak menyangka rumah sendiri terbakar sebelum dihubungi ahli keluarga yang memaklumkan kejadian,” kata mangsa kebakaran di Kampung Kijang, kelmarin.

Katanya, dia yang sedang bekerja di kedai serbaneka bergegas pulang ke rumah, namun tidak dapat menyelamatkan apa-apa dan kini keluarganya tinggal sehelai sepinggang.

“Sebelum kejadian petang semalam, isteri saya, Nooranatasha Mohd Aziki, 27, bersama anak bongsu, Wan Nur Auliya yang berusia setahun tujuh bulan keluar menghantar barang ke rumah ibu mentua yang terletak dua kilometer dari rumah kami.

“Tidak beberapa lama, penduduk kampung datang ke rumah mentua memaklumkan kebakaran yang berlaku dan dia segera pulang kerana pada ketika itu, anak sulung kami, Wan Nur Aira Wan Muhammad, 5, bersama neneknya, Setawa Mahmood, 87, sedang tidur di dalam rumah.

“Teriakan jiran menyedarkan mereka dari tidur untuk menyelamatkan diri disebabkan api yang semakin marak,” katanya ketika ditemui di lokasi kebakaran, hari ini.

Katanya, walaupun mereka sekeluarga kehilangan harta benda, namun bersyukur kerana tidak ada ahli keluarga yang cedera.

“Kerugian dianggarkan kira-kira RM50,000 termasuk barang kemas dan wang tunai yang disimpan di dalam rumah selain dokumen penting juga tidak dapat diselamatkan.

“Buat sementara waktu, kami sekeluarga berlindung di rumah keluarga mentua,” katanya.

Media semalam melaporkan, seramai 31 orang tinggal sehelai sepinggang selepas lapan rumah dihuni mereka di Kampung Kijang musnah dalam kebakaran pada jam 4.48 petang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top