Gara-gara kereta mainan kesayangannya patah, seorang kanak-kanak menangis teresak-esak ketika berpeluang bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum menerima kejutan yang tidak disangka-sangka.
Momen mencuit hati itu dikongsikan menerusi akaun Threads @heylyzarashid_, yang memaparkan gelagat si kecil berkenaan ketika disantuni pemimpin negara tersebut.
Menyedari kanak-kanak itu sedang bersedih, Anwar mengambil kesempatan untuk memujuknya sambil bertanyakan mengenai kereta mainan yang rosak.
Lebih menarik, beliau turut menghulurkan wang RM50 supaya kanak-kanak tersebut dapat membeli kereta mainan baharu yang lebih cantik dan besar.
“Kereta mainan ni patah. Nanti atok beli lain. Mainan ni pegang, ini (serah RM50) nanti beli baharu yang lebih cantik, yang lagi besar okay,” katanya.

Sementara itu, ibu saudara kanak-kanak berkenaan menerusi perkongsiannya di Threads mengakui mahu menyimpan detik tersebut sebagai kenangan apabila anak buahnya mendapat perhatian daripada Perdana Menteri.
“Simpan sini sebagai kenangan. PMX tengah menyantuni anak buah saya, menangis sebab kereta mainannya patah, menangis teresak-esak.. pastu PMX bagi duit RM50 suruh beli kereta baru,” tulisnya.

Dalam hantaran sama, wanita itu turut menitipkan doa buat Anwar sebagai tanda penghargaan atas layanan yang diberikan kepada anak buahnya.
“Saya doakan semoga sentiasa dlm rahmat dan kasih sayang Allah,” katanya.

Pertemuan ringkas yang bermula dengan tangisan gara-gara kereta mainan rosak itu akhirnya menjadi satu kenangan istimewa buat kanak-kanak berkenaan dan keluarganya.
Sumber: Threads heylyzarashid_




