Nas-T dan watak Keluang Man

Nas-T dan watak Keluang Man

najiy.jefri@hmetro.com.my

BERPELUANG menghidupkan watak adiwira ikonik negara, Keluang Man adalah pengalaman istimewa yang cukup berbeza buat pelakon Nas-T.

Ketika bapa lain mungkin dikenali anak-anak mereka melalui kerjaya biasa, Nas atau nama sebenarnya Nas Muammar Zar, 41, berasa bertuah kerana anak-anaknya kini memandang dirinya sebagai seorang wira yang membanggakan.

“Saya bangga mereka kenal saya sebagai superhero. Sebagai seorang ayah, saya rasa ia pengalaman berbeza dengan ayah lain dan saya boleh berbangga dengannya,” katanya.

Nas berkata, anak bongsunya, Nur Halili pernah berasa takut melihat dirinya lengkap berpakaian kostum Keluang Man.

Namun, situasi berubah selepas dia memperkenalkan watak itu kepada anak-anaknya.

“Anak saya yang kecil awalnya dia takut bila saya pakai kostum Keluang Man, tapi lama-lama dia kenal siapa di sebalik kostum itu.

“Mereka kini teruja kalau lihat iklan filem ini. Mereka akan anggap itu saya,” katanya.

Demi memastikan penampilan sebagai Keluang Man tampak meyakinkan, Nas juga mengamalkan rejim diet yang ketat dan disiplin tinggi.

Katanya, dia nekad tidak makan nasi bagi mendapatkan bentuk tubuh yang diinginkan apabila menyarung kostum adiwira itu.

“Sebelum ini memang jaga diet, tetapi bila jadi Keluang Man saya langsung tak boleh ambil nasi. Bila nak jadi Keluang Man kena pakai sut dan topeng yang menampakkan rahang saya.

“Memang saya perlu jalani diet ketat, makan makanan tinggi protein,” katanya.

Filem Keluang Man, adaptasi daripada siri animasi popular akhir 90-an yang pernah mencetuskan fenomena dan menjadi kebanggaan tempatan, dijangka menemui penonton di pawagam pada Mei ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top