Nasha Aziz masih memukau di usia 51 tahun

KUALA LUMPUR – Meskipun umurnya kini sudah mencecah angka 51 tahun, pelakon dan model jelita Nasha Aziz tetap menjadi tumpuan kerana dia masih mengekalkan kejelitaannya sehingga ke hari ini.

Malah kemunculan Nasha pada  Petunjukan Fesyen Islamik 2022 sebagai model busana Muslimah mencuri perhatian dengan aksi elegan dan penuh yakin di atas pentas.

Nasha yang mengenakan pakaian serba mewah berona hijau turquoise ternyata telah memukau mata pengunjung yang hadir kerana dia kelihatan begitu menawan.

Pertunjukan fesyen anjuran jenama fesyen Muslimah tempatan, Munawwareen itu yang berlangsung gilang-gemilang dengan menelan kos hampir RM1 juta yang bertujuan menaikkan martabat fesyen Islamik di negara.

Sesi fotografi bersama pelakon dan model, Nasha Aziz pada Petunjukan Fesyen Islamik 2022 anjuran Munawwareen di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 29 SEPTEMBER 2022.

Ketika ditemui media selepas acara berakhir, Nasha terharu kerana dia terpilih sebagai penampilan khas walaupun mendapat jemputan pada saat akhir.

Namun atas sikap profesionalnya, wanita ini berjaya mempamerkan aksi di sebalik busana yang mematuhi syariat.

“Saya bersyukur dengan rezeki ini dan bekerjasama dengan pasukan yang hebat.

“Rezeki tidak pernah salah alamat walaupun saya dijemput seminggu sebelum acara ini berlangsung,” katanya, di sini, hari ini.

Sementara itu, pengasas Munawwareen, Datin Aliza Abu Bakar memberitahu, pihaknya teruja dapat berkolaborasi dengan supermodel terkenal negara itu walaupun perancangan dibuat pada saat akhir

Sesi fotografi bersama pelakon dan model, Nasha Aziz pada Petunjukan Fesyen Islamik 2022 anjuran Munawwareen di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 29 SEPTEMBER 2022.

Beliau berharap penampilan Nasha dalam pertunjukan fesyen yang mematuhi syariat itu mampu mencetus hidayah kepada wanita Muslim yang lain untuk berfesyen dengan menutup aurat.

Minggu lalu, Nasha mengesahkan sedang ‘berkawan’ dan dalam fasa mengenali seorang jejaka yang enggan didedahkan identitinya.

Empunya nama sebenar Noraishah Abdul Aziz berkata, dia dan lelaki tersebut mengenali antara satu dengan lain sejak sembilan bulan lalu.

Desas-desus model berusia 51 tahun itu dilamun cinta tersebar selepas dia dikatakan menerima jambangan bunga daripada lelaki misteri ketika mengikuti penggambaran sebuah drama, baru-baru ini. – MalaysiaGazette