Sukan berbasikal hilang sebutir permata

Sukan berbasikal hilang sebutir permata

DUNIA sukan berbasikal negara kehilangan sebutir permata rentetan pemergian Setiausaha Agung Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Ashakari Abu Noor akibat serangan jantung pada Khamis.

Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Abd Wahab menegaskan Ashakari, 58, anak kelahiran Bukit Serindit, Melaka dan pernah menyandang jawatan Ketua Pemuda UMNO Melaka, disahkan meninggal dunia pada jam 1.37 pagi di Hospital Besar Melaka.

Beliau menyifatkan kehilangan Ashakari yang dilantik sebagai Setiausaha Agung sejak 2018 sebagai ‘sangat sukar diterima’ dan memberi impak besar kepada sukan berbasikal negara khususnya kejohanan Le Tour de Langkawi (LTdL).

“Ashakari merupakan perintis Chief Judge ketika Le Tour de Langkawi dimulakan pada 1996. Kecekapannya ketika menjadi Chief Judge mendapat perhatian istimewa daripada konsultan luar negara yang dilantik First Cartel.

“Ashakari pernah dipelawa untuk bertugas di Tour of Britain yang merupakan salah sebuah kejohanan besar di benua Eropah. Malah, sejak dilantik sebagai Setiausaha Agung, Ashakari sering melontarkan pelbagai idea bagaimana untuk menambah baik Le Tour de Langkawi.

“Kehilangan beliau sangat pahit dan PKBM kehilangan sebutir permata. Bagaimanapun saya akur kepada takdir Ilahi. Apa yang jelas, kehilangannya pasti menimbulkan kesan besar kepada tahap kepimpinan sukan berbasikal Malaysia,” katanya kepada Sukan Harian pada Khamis.

Abu Samah yang juga Naib Presiden Kehormat Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) menjelaskan PKBM menerima ucapan takziah peribadi daripada Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Norza Zakaria.

“Tan Sri Norza menghubungi saya dan menegaskan PKBM kehilangan insan hebat. Tan Sri Norza menegaskan Datuk Ashakari tiada galang gantinya. Tan Sri turut memberi bantuan kewangan kepada keluarga Datuk Ashakari,” katanya.

Pada 2009, Abu Samah mendedahkan Ashakari memberi cadangan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) agar membina velodrom tertutup selepas Datuk Mohd Azizulhasni Awang muncul juara Asia di Kejohanan Lumba Basikal Asia 2009 (ACC 2009) di Kalimantan, Indonesia.

“Ketika itu, kita hanya ada Velodrom Cheras. Datuk Ashakari tidak henti-henti mendesak KBS agar segera membina velodrome tertutup sekiranya Malaysia mahu kekal menjadi kuasa besar acara trek dunia.

“Akhirnya Velodrom Nilai dibina. PKBM sangat berterima kasih kepada Datuk Ashakari yang merupakan insan pertama yang melontarkan idea pembinaan velodrom tertutup di negara ini,” katanya.