Nasib aktivis GSF 2.0 tidak diketahui, pembebasan belum disahkan – SNCC

Nasib aktivis GSF 2.0 tidak diketahui, pembebasan belum disahkan – SNCC

lokman.khairi@hmetro.com.my

Bangi: Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) memaklumkan nasib 175 aktivis Global Sumud Flotila (GSF) 2.0 termasuk 10 rakyat Malaysia yang ditahan oleh rejim Israel di perairan antarabangsa berdekatan Greece, masih belum diketahui.

Ketua Pengarah SNCC, Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, sehingga 38 jam selepas insiden penahanan itu, pihaknya masih belum menerima sebarang pengesahan rasmi mengenai status keselamatan kesemua aktivis terbabit.

“Setakat ini, SNCC masih belum menerima pengesahan rasmi berhubung keadaan semua 175 aktivis termasuk 10 rakyat Malaysia.

“Kita ada menerima maklumat awal bahawa mereka dijangka dibebaskan sekitar jam 12 tengah hari waktu Malaysia di Pelabuhan Ierapetra, Greece, namun perkara itu masih belum dapat disahkan oleh saluran rasmi atau pasukan di lapangan.

“Rangkaian perundangan Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA) memaklumkan usaha ditingkatkan bersama semua kumpulan perundangan serata dunia untuk memberi tekanan berterusan kepada pihak rejim melalui usaha kedutaan masing-masing demi membebaskan aktivis,” katanya pada sidang media di SNCC di sini, hari ini.

Beliau berkata, SNCC sudah berhubung dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan pendirian tegas kerajaan mengecam tindakan rejim Israel yang disifatkan sebagai pencabulan undang-undang antarabangsa.

“Kerajaan melalui Wisma Putra juga sudah memulakan usaha maksimum termasuk menghubungi konsul kehormat Malaysia di Greece serta negara sahabat bagi menyelaraskan usaha pembebasan semua aktivis,” katanya.

Sani Araby berkata, perkembangan terkini menunjukkan tekanan antarabangsa semakin meningkat apabila beberapa negara Eropah didakwa mengancam untuk mengambil tindakan terhadap Israel bagi memastikan aktivis terbabit dibebaskan.

“Kita dimaklumkan terdapat tekanan besar daripada negara seperti Sepanyol dan Itali serta beberapa negara Eropah lain yang memberi isyarat keras termasuk kemungkinan menutup pelabuhan mereka sebagai tekanan kepada Israel,” katanya.

Mengulas mengenai bot flotila, beliau berkata, setakat ini 21 daripada 63 bot disahkan dipintas, manakala sebuah lagi dilaporkan disabotaj dan sedang dipantau pihak Greece.

“Kita tidak menolak kemungkinan berlaku sabotaj terhadap bot yang ditinggalkan, namun baki bot lain kini berada dalam keadaan selamat dan berlindung di perairan Greece,” katanya.

Beliau berkata, pada peringkat awal pihaknya menjangkakan semua aktivis akan dibawa ke pelabuhan Ashdod di Israel, namun perkembangan terkini menunjukkan kemungkinan mereka dibebaskan di Greece susulan tekanan antarabangsa.

“Ketika ini wakil konsulat dan pihak berkaitan sedang bersiap sedia di pelabuhan Greece bagi menyambut mereka sekiranya dibebaskan di sana,” katanya.

Dalam pada itu, beliau tidak menolak kemungkinan misi flotila itu akan diteruskan selepas semua aktivis dibebaskan.

“Perjuangan ini tidak akan terhenti. Aktivis yang berada di Greece masih bersemangat untuk meneruskan pelayaran, termasuk kumpulan lain yang sedang menunggu di Turkiye,” katanya.

Sani Araby turut menyifatkan insiden berkenaan sebagai ‘pengulangan skrip’ bagi menghalang gabungan lebih besar flotila kemanusiaan daripada meneruskan misi ke Gaza.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat Malaysia untuk terus bersuara dan menzahirkan solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin.

“Kita minta rakyat Malaysia terus memberi tekanan, menyebarkan maklumat sahih serta mengadakan solat hajat sebagai tanda sokongan dan solidariti kepada semua aktivis yang ditahan,” katanya.

Semalam, SNCC mengesahkan 10 rakyat Malaysia antara peserta terputus hubungan pada hari ke-18 misi kemanusiaan GSF.

Sebanyak 22 daripada keseluruhan 63 kapal dilaporkan dipintas pihak berkuasa Israel di perairan Mediterranean berhampiran Kepulauan Crete, Greece.

Mereka yang ditahan setakat ini adalah pengasas ZRA Strim, Zainal Rashid Ahmad yang menaiki kapal Arkham III, Mohd Hanafi Mohd Salim (Bianca BCN), Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman (Bianca BCN), Norhelmi Ab Ghani (Bianca BCN), Hazwan Hazim Dermawan (Bianca BCN).

Turut ditahan, Osman Zolkifli (Eros 1), Dr Jihan Alya Mohd Nordin (Eros 1), Mohd Shamsir Mohd Isa (Esplai II), Mohd Redzal Amzah (Freia) dan Muhamad Muhsin Zaidi (Marea).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top