Nasken Coffee buka cawangan ke-43 di Putrajaya

Nasken Coffee buka cawangan ke-43 di Putrajaya

Putrajaya: Nasken International Sdn Bhd melakar kejayaan tersendiri apabila membuka cawangan ke-43 bertempat di Presint 15, di sini baru-baru ini.

Pencapaian cemerlang jenama kafe terkenal tempatan ini bukanlah sekadar kejayaan angka, sebaliknya simbol keteguhan prinsip, nilai dan misi yang dipegang sejak awal lagi.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Nasken, Mohd Nazif Ab Aziz berkata memberitahu jenama itu mempunyai makna yang cukup simbolik dengan komuniti masyarakat.

“Nama ‘Nasken’ itu sendiri mempunyai makna mendalam, iaitu gabungan daripada ‘Sakinah’ yang membawa maksud ketenangan manakala ‘Naz’ adalah panggilan ringkas namanya sendiri serta Kelantan adalah negeri asal permulaan jenama ini.

“Nasken adalah perjalanan mencari ketenangan melalui perniagaan. Bukan semata-mata mengejar keuntungan, tetapi membina sesuatu yang bermanfaat untuk masyarakat,” katanya.

Tambahnya, pembukaan itu bukan sekadar menambah bilangan cawangan, tetapi mencerminkan perjalanan panjang sebuah jenama yang teguh berpegang pada nilai kekeluargaan, spiritual dan identiti Malaysia.

Terdahulu majlis perasmiannya disempurnakan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam merangkap Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) Kelantan, Nik Nazmi bin Nik Ahmad.

Hadir sama Pengarah Pembangunan Persekutuan Negeri Kelantan, Jasri Kasim; Pengerusi Eksekutif DNeX Berhad Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir dan Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Elzar Group Ustaz Dr Zaharuddin Abd Rahman.

Menurut Mohd Nazif, Nasken kini dalam proses awal untuk disenaraikan di Bursa Malaysia dan dijangka direalisasikan menjelang akhir tahun depan. ” “Persiapan dokumentasi sedang dijalankan dengan sokongan peguam dan penasihat korporat, menandakan kesungguhan mereka untuk memastikan kelestarian jenama dalam jangka masa panjang.” ujarnya.

Mohd Nazif menjelaskan bahawa langkah penyenaraian ini bukan hanya bertujuan untuk pengumpulan dana, tetapi sebagai strategi memperkukuh kestabilan jenama, memberi jaminan kepada kakitangan dan menyumbang secara lebih signifikan kepada pembangunan ekonomi dan sosial komuniti.

Mengenai perancangan masa depan pula kata Mohd Nazif lagi, jenama Nasken yang bermula secara sederhana di Kelantan, kini berbangga apabila memiliki jaringan cawangan di seluruh Malaysia termasuk Lembah Klang, Negeri Sembilan, Pahang, dan Terengganu.

“Strategi pengembangan mereka juga unik kerana ia tidak tertumpu hanya di kawasan bandar utama, tetapi bermula dari akar umbi sebelum menembusi pasaran nasional dan antarabangsa.

“Antara perancangan terdekat termasuk pembukaan cawangan di KLIA2 Gateway pada Ogos 2025, serta langkah awal memasuki pasaran Timur Tengah, bermula dengan Madinah.” katanya.

Malah lebih istimewa Nasken dikenali bukan sahaja kerana kopi mereka, tetapi juga pengalaman pelanggan yang dibina melalui suasana tenang, selesa dan sesuai untuk pelbagai aktiviti seperti sama ada bekerja, berbincang atau bersantai.

Disamping menyediakan menu menarik antaranya kek tiramisu dan kek buttercream, nasi lemak, mi goreng dan pelbagai menu tempatan.

Selain minuman segar daripada kilang mereka sendiri.

“Semua produk dihasilkan segar dari dapur dan kilang milik sendiri, termasuk kilang kek, kilang minuman serta sistem logistik dalaman. Kesemua produk utama juga mendapat pensijilan halal, menambah keyakinan pelanggan terhadap jenama ini.” katanya yang meneruskan beberapa kempen promosi Istimewa dan sokongan komuniti.

Ujarnya, sebagai tanda penghargaan kepada pelanggan, Nasken menawarkan diskaun 50 peratus untuk menu terpilih di semua cawangan sempena pembukaan cawangan baharu ini.

Promosi ini adalah simbolik penghargaan terhadap sokongan komuniti yang tidak pernah putus sejak awal penubuhan mereka.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top