Penjelasan sunah, adab dan khilaf fiqh

Penjelasan sunah, adab dan khilaf fiqh

Setiap kali berlaku kematian, kita akan menyaksikan pelbagai amalan dilakukan oleh keluarga si mati – antaranya menjirus air di atas kubur setelah selesai pengebumian. Tindakan ini, walaupun tampak kecil, sering menjadi sasaran kritikan sesetengah pihak yang menganggapnya sebagai ‘bidaah’ atau ‘tidak bersumber daripada sunnah.’ Lebih-lebih lagi jika air yang digunakan itu adalah air mawar. Namun, adakah benar dakwaan ini? Atau sebenarnya tindakan tersebut memiliki sandaran dalam ajaran Islam?

Tulisan ini akan menghuraikan dengan tenang dan berdasarkan hujah ilmiah tentang hukum menjirus air, termasuk air mawar, di atas kubur dengan merujuk kepada amalan Nabi Muhammad SAW, para sahabat, dan pandangan para ulama.

Amalan Nabi SAW dan para sahabat

Sebagaimana yang diriwayatkan dalam pelbagai sumber hadis dan kitab fiqh, perbuatan menjirus air ke atas kubur sememangnya pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW sendiri. Dalam kitab I’anah al-Talibin (jilid 2, halaman 136), dinyatakan:

“Dan (disunatkan) menyiram (menjirus) kubur dengan air agar debu-debu tanah tidak ditiup angin dan kerana bahawasanya Nabi SAW melakukan sedemikian pada kubur anakanda Baginda SAW, Saidina Ibrahim…”

Selain kubur anakandanya, Nabi SAW juga menjirus air ke atas kubur para sahabat seperti Saad bin Muaz dan Uthman bin Mazh’un, sebagaimana diriwayatkan oleh Imam Ibn Majah dan Imam al-Tirmizi.

Hadis lain turut meriwayatkan bahawa Sayidina Bilal bin Rabah telah menjirus air di atas kubur Baginda SAW sendiri dengan menggunakan kirbah (bekas air daripada kulit). Beliau memulakan jirusan dari bahagian kepala Baginda sehingga ke kaki, sebagaimana dinyatakan dalam Sunan al-Kubra (jilid 3, no. 6613).

Kesemua ini membuktikan bahawa amalan menjirus air di atas kubur mempunyai asal daripada Nabi dan para sahabat. Ia bukanlah perkara baharu yang diada-adakan sebagaimana dituduh oleh sebahagian golongan yang cenderung menolak amalan-amalan tradisi berasaskan kefahaman yang sempit terhadap konsep bidaah.

Air sejuk dan bersih: Tafa’ul dan tertib

Para ulama fiqh turut menyebut tentang keutamaan menggunakan air yang suci, bersih, dan sejuk untuk menjirus kubur. Dalam I’anah al-Talibin, dinyatakan bahawa disunatkan air tersebut adalah air mutlak yang sejuk, sebagai satu bentuk tafa’ul (pengharapan baik) agar Allah SWT menyejukkan liang lahad si mati.

Amalan ini, selain menyimbolkan harapan dan adab kepada si mati, juga memberi manfaat praktikal seperti menenangkan tanah yang masih longgar dan mengelakkan debu berterbangan. Dalam suasana panas, air yang dijirus turut membantu ‘meredakan’ tanah daripada cepat merekah atau runtuh.

Bagaimana dengan air mawar?

Isu utama yang sering dibangkitkan ialah apabila keluarga si mati menggunakan air mawar atau air wangi untuk menjirus kubur. Ada yang mendakwa perbuatan itu haram atau bidaah kerana tidak dilakukan Nabi SAW. Namun, benarkah begitu?

Dalam kitab Nihayah al-Zayn (halaman 154), disebutkan secara jelas bahawa tidak mengapa mencampurkan sedikit air mawar ketika menjirus kubur. Teks penuh menyebut:

“Disunatkan untuk menyiramkan air sejuk ke atas kubur sebagai tanda harapan agar tempat perbaringan (si mati) menjadi sejuk. Tidak mengapa jika dicampurkan sedikit air mawar, kerana para malaikat menyukai bau yang harum.”

Ini menunjukkan bahawa walaupun sebahagian ulama seperti dalam I’anah al-Talibin menyatakan air mawar sebagai makruh, namun ulama lain tetap membolehkan bahkan menyambutnya dengan pandangan positif selagi ia dilakukan dalam kerangka adab dan bukan kepercayaan karut.

Mengapa kita perlu berlapang dada?

Dalam isu seperti ini, umat Islam perlu berlapang dada dan tidak bersikap keras. Fiqh Islam sangat luas, dan para ulama muktabar berbeza pandangan dalam pelbagai perkara termasuk persoalan kecil seperti penggunaan air mawar di kubur. Ini bukan perkara usul atau pokok aqidah yang memerlukan pendirian keras sehingga menimbulkan pertelingkahan atau takfir.

Malangnya, hari ini kita melihat terdapat kelompok yang gemar mengambil satu pandangan sahaja, lalu menolak dan memusuhi pihak lain yang beramal dengan pandangan yang berbeza. Sedangkan dalam hal yang telah diijtihadkan oleh ulama, sikap seperti itu adalah bercanggah dengan etika ilmu.

Tradisi dan budaya: |Jangan cepat menuduh

Menjirus air di kubur dengan air mawar juga merupakan sebahagian daripada budaya masyarakat Muslim di Nusantara yang menghormati si mati. Selagi tidak bercampur dengan kepercayaan khurafat atau perbuatan syirik, maka ia termasuk dalam kategori adat yang dibolehkan syarak.

Sikap tergesa-gesa menuduh setiap perkara sebagai bidaah atau sesat hanya akan merenggangkan masyarakat daripada agama. Islam datang bukan untuk menafikan tradisi, tetapi untuk menyucikannya dan menyelaraskan dengan syariat.

Kembali kepada roh ihsan

Akhirnya, amalan menjirus air termasuk air mawar di atas kubur bukanlah sekadar satu perbuatan fizikal, tetapi melambangkan kasih sayang, doa dan adab terhadap si mati. Ia mencerminkan keindahan akhlak Islam yang menghargai kemuliaan insan walaupun setelah roh meninggalkan jasad.

Islam bukan agama kering yang hanya berlegar pada hukum zahir semata-mata. Ia adalah agama yang memupuk rasa, adab, dan kesatuan – bukan perpecahan. Maka janganlah kerana setitis air mawar, kita renggangkan silaturrahim dan saling tuduh-menuduh atas nama agama.

Semoga Allah mengurniakan kefahaman yang mendalam dan menjadikan kita umat yang mencontohi ilmu serta hikmah para ulama terdahulu.

Penulis Pengurus Pusat Kajian Syariah Darul Fitri

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top