Nazeera Sardi berduka kehilangan ibu tercinta

Nazeera Sardi berduka kehilangan ibu tercinta

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelakon Nazeera Sardi, 39, kehilangan ibu tercinta, Allahyarham Siti Nginah Bero yang meninggal dunia di hospital pada jam 5.47 pagi semalam.

Berita sedih itu dikongsikan Nazeera menerusi hantaran dimuatnaik di Instagram (IG) yang turut memohon agar Allah mengampunkan segala dosa ibunya serta menempatkan roh arwah pada kalangan orang beriman.

“Dukacita dimaklumkan bahawa bonda tercinta, Siti Nginah binti Bero telah kembali ke Rahmatullah, jam 5.47 pagi (24 Januari 2026) bersamaan 5 Syaaban 1447.

“Semoga Allah merahmati rohnya, mengampuni segala dosa dan menempatkan beliau (arwah) dalam kalangan orang beriman.

“Terima kasih juga atas doa kalian yang tak mampu saya balas, yang mendoakan kesembuhannya sebelum ini. Terima kasih yang tak putus-putus datang melawat bonda saya sepanjang di ICU (Unit Rawatan Rapi).

“Semoga Allah balas semua kebaikan,” katanya pada hantaran dimuat naik mengenai arwah ibu tersayang.

Walaupun tidak memberitahu secara terperinci punca Allahyarham ibunya meninggal dunia, namun Nazeera memaklumkan jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Bukit Rokan Utara, Gemencheh, Negeri Sembilan.

Ramai rakan selebriti dan netizen mengucapkan takziah kepada Nazeera dan berharap semoga dia tabah dalam berhadapan dugaan kehidupan.

Pada hantaran dimuatnaik Nazeera di IG beberapa hari lalu, memaklumkan arwah ibunya baru selesai menjalani pembedahan dan berada dalam keadaan kritikal.

Justeru, Nazeera memohon jasa baik daripada orang ramai yang mengenalinya dan ibunya agar mendoakan kesihatan wanita itu untuk kembali sihat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top