rnoraina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat (PenMas) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Nazli Rasyid Sulong dilantik sebagai Pengarah SPRM Kedah yang baharu.
Lantikan itu menggantikan Datuk Ahmad Nizam Ismail yang menjawat Pengarah PenMas berkuat kuasa 23 Mei lalu.
Majlis serah terima tugas yang berlangsung di Pejabat SPRM Kedah, disaksikan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman.
Azmi berkata, SPRM Kedah mencapai banyak kejayaan sepanjang tempoh pentadbiran Ahmad Nizam sejak 2 Februari 2024 dan menyarankan pengarah baharu mengekalkan kecemerlangan itu.
“SPRM Kedah juga diminta terus menjalin hubungan dengan agensi luar kerajaan negeri dalam usaha memantapkan kerjasama strategik.
“Bagi seluruh warga SPRM, saya mengucapkan terima kasih dan setinggi penghargaan atas segala sumbangan sepanjang perkhidmatan Ahmad Nizam di negeri ini,” katanya pada Majlis Serah Terima Tugas Pengarah SPRM Kedah di Pejabat SPRM Kedah, Alor Setar, Kedah, hari ini.
Turut hadir isteri Azmi iaitu Datin Saliza Mohamad Zillah dan isteri Ahmad Nizam merangkap Pengerusi Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) SPRM Kedah, Datin Bashirah Ramli.
Dalam pada itu, Azmi berkata, SPRM menggalakkan seluruh kakitangannya menggunakan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI) dalam melaksanakan tugas harian bagi menangani jenayah rasuah yang semakin kompleks.
“Saranan penggunaan teknologi baharu selaras hasrat Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yang sering menekankan perkara terbabit.
“Pegawai baharu juga digalakkan menggunakan teknologi terkini dalam tugasan harian kerana penyiasatan semakin mencabar dalam era digitalisasi masa kini dan pada masa sama, terus mengekalkan tahap disiplin dalam kerja masing-masing,” katanya.
Terdahulu, Azmi mengadakan kunjungan hormat ke atas Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Seri Norizan Khazali yang diiringi Ahmad Nizam dan Nazli Rasyid di pejabat SUK Kedah di Wisma Darul Aman.
© New Straits Times Press (M) Bhd




