Neelofa selesai fitting baju nikah?

KUALA LUMPUR – Spekulasi yang mendakwa selebriti popular, Neelofa bakal mendirikan rumah tangga pada hujung minggu ini semakin sahih apabila dia memuat naik koleksi foto dirinya yang kelihatan seperti sedang mencuba pakaian atau sesi fitting baju nikah.

Gambar itu kelihatan apabila Neelofa atau nama sebenar Noor Neelofa Mohd Noor memuat naik status di Instagram memohon orang ramai mendoakan agar segala urusannya dipermudahkan.

Hari ini, bekas pengacara MeleTOP itu menitipkan doa agar dia dipermudahkan segala urusan.

Sejak semalam, netizen turut mendakwa perkahwinan wanita berusia 32 tahun dengan Pencetus Ummah (PU) Riz atau nama sebenar Haris Ismail, 26, bakal berlangsung pada Jumaat ini di sebuah hotel lima bintang di sekitar KLCC.

“Wahai Tuhanku, tiada kemudahan melainkan apa yang Engkau jadikan mudah dan perkara yang susah boleh Engkau jadikan

“Wahai Rabb Yang Maha Hidup, wahai Rabb Yang Berdiri Sendiri tidak memerlukan segala sesuatu, dengan rahmat Mu aku meminta pertolongan.

“Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku dadaku, dan mudahkanlah bagiku urusanku.

”Dengan rahmat Mu aku meminta pertolongan ya Allah. Doakan saya dalam doa-doa kalian,” tulis Neelofa di Instagram. – MalaysiaGazette