Negara dulu, baru kelab – Kane

Negara dulu, baru kelab – Kane

London: Kapten England, Harry Kane, mengkritik beberapa pemain yang menarik diri daripada menyertai pasukan kebangsaan menjelang perlawanan Liga Negara-Negara menentang Greece dan Ireland, dengan menyatakan negara harus sentiasa mengatasi kepentingan kelab.

England akan menentang Greece awal pagi esok, diikuti dengan Ireland tiga hari kemudian di Wembley, tetapi sembilan pemain, beberapa daripadanya adalah tonggak utama, yang dipanggil oleh ketua sementara Lee Carsley, menarik diri kerana kecederaan.

Jack Grealish dan Phil Foden dari Manchester City, Bukayo Saka dan Declan Rice dari Arsenal, Cole Palmer dan Levi Colwill dari Chelsea, Trent Alexander Arnold dari Liverpool, penjaga gol Southampton Aaron Ramsdale dan Jarrad Branthwaite dari Everton, semuanya menarik diri daripada skuad.

Kane berkata, perkara ini tidak pernah berlaku semasa Gareth Southgate mengendalikan pasukan kerana bekas pengendali itu mencipta persekitaran di mana pemain berasa teruja untuk menyertai kem kebangsaan.

“Kegembiraan untuk bermain bagi England, saya rasa beliau (Southgate) membawa itu kembali. Setiap kem, pemain berasa teruja untuk datang, pemain mahu bermain untuk England dan itu perkara yang paling penting,” kata Kane kepada ITV Sport.

“Ia adalah perkara paling penting yang perlu anda lakukan sebagai seorang pemain bola sepak profesional. Gareth sangat tegas mengenai itu dan beliau tidak takut untuk membuat keputusan jika ada pemain yang mula mengabaikan perkara itu.

“Sayangnya, minggu ini, saya rasa ia adalah satu tempoh yang sukar dalam musim dan mungkin ada yang sedikit mengambil kesempatan daripada itu. Saya tidak terlalu suka dengannya, kalau saya jujur… Saya rasa England lebih penting berbanding yang lain.”

Walaupun Kane kini menikmati rehat musim sejuk selepas berpindah ke gergasi Jerman, Bayern Munich, pemain-pemain di kelab-kelab England akan menghadapi lebih banyak perlawanan dalam tempoh sibuk perayaan.

Ketua jurulatih baru England, Thomas Tuchel, tidak akan mengambil alih sehingga tahun baharu, tetapi beliau tidak akan berpeluang bekerja dengan skuad sehingga rehat antarabangsa seterusnya pada bulan Mac.

Carsley berkata bahawa penarikan diri pemain-pemain berkenaan memberi peluang kepada pemain lain untuk menunjukkan kemampuan mereka kepada jurulatih yang akan datang.

“Harry mempunyai pendapatnya sendiri tetapi saya hanya boleh menangani apa yang ada di hadapan kita,” kata Carsley, yang akan menamatkan tugasnya selepas menentang Ireland Isnin depan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top