Negeri Sembilan penentu kerjasama PRU16

Negeri Sembilan penentu kerjasama PRU16

KUALA LUMPUR: Pilihan Ra­ya Negeri (PRN) Negeri Sem­bilan bukan sahaja bakal menjadi manifestasi penya­tuan undi Melayu, malah pe­nentu kesinambungan ker­jasama antara Barisan Na­sio­nal (BN) dan Perikatan Na­sional (PN) menjelang Pi­li­han Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Meskipun masa depan kerjasama kedua-dua gabu­ngan setakat ini belum ditentukan, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani melihat keputusan PRN Negeri Sembilan merupakan penanda aras sama ada ia perlu diteruskan atau tidak.

Beliau berkata, hari pe­na­maan calon PRN Negeri Sembilan kelmarin membuktikan persefahaman antara BN dan PN dalam urusan pembahagian kerusi.

“Kita tunggu dulu keputusan, jangan komen sebelum keputusan.

“Setiap parti politik mempunyai ideologi masing-ma­sing. Jika ada ruang untuk mencapai persefahaman dan bekerjasama di mana-mana kawasan atau negeri, itu terpulang kepada parti terbabit.

“Akhirnya, bukan pemim­pin yang menentukan kemenangan, sebaliknya rakyat yang membuat keputusan,” katanya ketika ditemui selepas program sarapan bersama penduduk PPR Cochrane Perkasa di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada kerjasama BN dan PN di Negeri Sembilan akan diteruskan sehingga PRU16.

Pada PRN Negeri Sembilan, PN yang terdiri daripada Pas, Parti Wawasan Negara (Wawasan), Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) tidak bertembung dengan BN di semua kerusi.

PRN Negeri Sembilan kali ini menyaksikan kelainan apabila tiga gabungan politik utama tampil dengan strategi berbeza bagi merebut 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus mengubah landskap pertandingan berbanding pilihan raya terdahulu.

Pakatan Harapan (PH) muncul satu-satunya gabungan yang meletakkan calon di ke­semua 36 kerusi manakala BN hanya bertanding di 25 kerusi selepas mencapai persefahaman dengan PN yang mengisi baki 11 kerusi.

Selain PH, BN, PN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), tiga parti lain yang turut serta adalah Barisan Jemaah Islamiah Malaysia (Berjasa), Parti Orang Asli Malaysia (Asli) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Dalam pada itu, Pas menyeru penyatuan orang Melayu Islam, bumiputera dan masyarakat bukan Islam yang tidak ekstrem bersama parti politik tertentu termasuk BN bagi membentuk kekuatan baharu dalam menyelamatkan negara.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, pendekatan itu berasaskan konsep perpaduan antara Islam dan masyarakat bukan Islam se­perti yang pernah dilakukan Rasulullah.

Katanya, perubahan perlu dilakukan melalui kerjasama umat Melayu Islam bersama bumiputera dan masyarakat bukan Melayu yang tidak ekstrem.

“Pas mengajak kepada perubahan berteladankan Rasulul­lah serta berasaskan kekuatan perpaduan Islam Arab dan bukan Islam yang tidak ekstrem.

“Dahulukan Pas bersama UMNO, BN, kumpulan Melayu Islam dan bukan Islam yang tidak ekstrem seperti MCA, MIC, Dewan Himpunan Pendukung Pas (DHPP) dan lain-lain, diikuti oleh Sarawak dan Sabah bagi menyelamatkan Malaysia yang tercinta ini,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top