am@hmetro.com.my
Seremban: Kerajaan negeri akan meneliti semula peraturan penjualan vape di negeri itu dengan mengambil kira pandangan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) dan pelaksanaan dasar itu di negeri lain.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata pihaknya akan mengkaji dan menyemak semula peraturan penjualan bahan berkenaan.
“Kita akan kaji dulu, kita tengok pandangan daripada Kementerian Kesihatan, kalau semua negeri sudah menetapkan dasar kawal selia, kita ikut saja.
“Sekarang di Negeri Sembilan boleh jual, jadi kita kena semak semula peraturan penjualan itu,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan kerajaan akan terus mengamalkan pendekatan kawal selia terhadap vape menerusi Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang dikuatkuasakan mulai 1 Oktober lalu.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, dilaporkan berkata Kerajaan Persekutuan kekal dengan pendirian tidak mengharamkan penjualan vape pada peringkat nasional, namun menyerahkan kepada kerajaan negeri untuk menentukan dasar masing-masing termasuk melarang penjualan vape, melalui pihak berkuasa tempatan (PBT).
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Negeri Sembilan (NESCA), Khairuddin Yunus, menggesa tindakan proaktif perlu diambil pihak berkuasa negeri dalam memastikan aktiviti penjualan vape dalam kalangan masyarakat.
Beliau berkata, cadangan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang menyarankan pengharaman total terhadap penggunaan vape wajar diberikan perhatian.
© New Straits Times Press (M) Bhd




