am@hmetro.com.my
Tanjong Karang: Semakin ramai pendatang tanpa izin (Pati) dikesan menyusup dalam sektor perikanan dan ‘merampas’ pekerjaan yang sebelum ini didominasi warga tempatan.
Terbaharu empat nelayan warga asing diberkas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor ketika sedang menangkap ikan di perairan Tanjong Karang kelmarin.
Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, semua warga asing itu ditahan ketika menggunakan peralatan menangkap ikan dilarang iaitu bubu naga.
Beliau berkata, kedua-dua bot digunakan nelayan warga asing itu tiada nombor pendaftaran.
“Hasil pemeriksaan mendapati, setiap bot memiliki tiga set bubu naga bernilai RM300.
“Bot berwarna putih dan merah dikendalikan dua warga Myanmar manakala sebuah lagi bot berwarna merah dan biru pula dikendalikan dua warga Indonesia,” katanya.
Abdul Muhaimin berkata, kesemua suspek berusia lingkungan 22 hingga 31 tahun didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
Menurutnya, kedua-dua bot disita sebelum dibawa ke jeti Polis Marin Pulau Indah untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia bagi siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 danSeksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Penggunaan bubu naga bukan sahaja menyalahi undang-undang, bahkan menjejaskan ekosistem laut dan sumber pendapatan nelayan tradisional pesisir pantai,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




